KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan kontraktor berkaitan diarahkan mengemukakan pelan pemulihan segera bagi mempercepat pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A yang mencatatkan kemajuan fizikal 89.54 peratus, berbanding 96.32 peratus mengikut jadual.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelan pemulihan itu perlu menggariskan langkah konkrit dan berkesan bagi memastikan kemajuan projek dapat dipertingkatkan serta kelewatan pelaksanaan ditangani segera.
Menurut KKR, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah menambah jentera dan tenaga kerja di tapak, selain melanjutkan waktu operasi bagi mempercepatkan kerja pembinaan.
KKR menegaskan prestasi pelaksanaan projek yang gagal mencapai sasaran tidak akan dikompromi, manakala tindakan kontraktual termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) boleh diambil sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi berdasarkan syarat kontrak.
“Setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.
Perkara itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil. 10/2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, di sini.
KKR turut mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
Dalam pada itu, kementerian berkata kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kemajuan projek, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti.
Penyelarasan berterusan antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan isu berbangkit dapat ditangani dengan berkesan, sekali gus membantu mempercepat pelaksanaan kerja di tapak.
KKR menegaskan komitmennya untuk memastikan projek LPB Sabah dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi tatakelola serta memenuhi syarat kontrak yang ditetapkan.
Projek itu penting bagi menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti dan selamat, selain menyokong pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid; serta Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Zul Hadi Ahmad.



