KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merekodkan tindakan penguatkuasaan, rampasan dan anggaran penalti keseluruhan bernilai RM269,439.26 menerusi Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak di sini pada Selasa.
Operasi yang membabitkan 202 pegawai dan anggota daripada 19 jabatan serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memperkasa penguatkuasaan di kawasan laut dan darat daerah berkenaan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata operasi bersepadu itu turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, pengesanan pemilikan bom ikan serta pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.
Katanya, operasi berkenaan dikoordinasikan ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan Cawangan Khas IPD Kunak, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, VAT 69, Special Task and Rescue (STAR) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Turut terlibat ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Daerah Kunak, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Perikanan dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Menurutnya, antara tindakan utama direkodkan ialah pemeriksaan JTK Sabah terhadap 10 premis perniagaan membabitkan 45 pekerja, dengan lima kes kompaun bernilai RM170,000.
SSM pula memeriksa 21 premis dan mengeluarkan satu kompaun bernilai RM5,000, selain satu notis pematuhan.
JKDM turut memeriksa enam premis dan merekodkan satu kes rampasan rokok dengan anggaran nilai termasuk duti sebanyak RM30,939.26.

Barang rampasan berkenaan dibawa ke Pejabat Kastam Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, KWSP memeriksa 20 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, selain mengenal pasti lima kes yang disyaki melakukan kesalahan untuk siasatan lanjut.
Kes terbabit membabitkan anggaran penalti maksimum keseluruhan sebanyak RM50,000, tertakluk kepada hasil siasatan dan proses perundangan.
Dalam operasi sama, Majlis Daerah Kunak memeriksa lima premis perniagaan dan mengeluarkan satu kompaun bernilai RM500 kerana menjalankan operasi tanpa lesen yang sah.
JIM pula memeriksa 64 individu dan menahan enam orang atas kesalahan yang dilaporkan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
PDRM turut memeriksa 12 premis dan 60 individu, sebelum menahan empat orang atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, SESB memeriksa 22 rumah dan merampas kabel elektrik seberat tujuh kilogram dengan anggaran nilai RM3,000.
JPDS pula merekodkan rampasan sembilan enjin pump boat, satu enjin sangkut dan sebuah bot dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.
Victor berkata, operasi berkenaan bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), termasuk membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, bersubsidi dan tidak bercukai serta mengekang keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, pelaksanaan operasi bersepadu itu turut meningkatkan kehadiran dan dominasi pasukan keselamatan, selain memperkukuh koordinasi serta perkongsian maklumat antara agensi.
“Keseluruhan kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam memperkukuh keselamatan dan penguatkuasaan di ESS Zone, selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 202 pegawai dan anggota daripada 19 agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan.
ESSCOM, katanya, akan terus mempergiat operasi seumpama itu demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah Timur terus terpelihara.



