KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menyambut baik pelantikan mantan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Mariati Robert, sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), yang disifatkan sebagai langkah bermakna ke arah perubahan berkekalan.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata pelantikan itu amat dialu-alukan memandangkan Mariati mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan serta pemahaman mendalam mengenai undang-undang, institusi dan masyarakat Sabah.
“Perkara ini sudah lama dinantikan. Hari ini, kami mengalu-alukan satu langkah bermakna ke hadapan.
“Warisan perundangan Sabah yang tersendiri merupakan sebahagian daripada asas penubuhan Malaysia. Pengalaman perundangan negeri ini wajar terus mendapat tempat dalam institusi yang membentuk pentadbiran keadilan di seluruh Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mariati yang diterima masuk sebagai ahli Badan Peguam Sabah hampir lima dekad lalu, akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota bebas SPK.
Nazim berkata pemilihan hakim memerlukan pemahaman terhadap masyarakat yang menerima perkhidmatan kehakiman, undang-undang yang digunakan serta keadaan berbeza dalam pelaksanaan keadilan.
Katanya, penyertaan perspektif berkenaan dalam proses pemilihan hakim akan memperkukuh institusi negara.
“Pengalaman beliau akan memperkayakan pertimbangan suruhanjaya itu, di samping tanggungjawab yang dikongsi setiap anggota untuk mempertahankan merit, integriti dan kebebasan kehakiman,” katanya.
SLS turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Idrus Harun, Tan Sri Zainun Ali dan Profesor Dr Hartini Saripan atas pelantikan mereka sebagai anggota SPK bagi tempoh 1 November 2026 hingga 31 Oktober 2028.
Nazim berkata SLS berharap pengaturan institusi yang berkekalan dapat diwujudkan bagi memastikan pengalaman perundangan Sabah terus diambil kira dalam proses pelantikan hakim merentasi pelantikan dan tempoh keanggotaan suruhanjaya pada masa hadapan.
“Perkembangan hari ini memberi kita sebab untuk percaya bahawa kemajuan boleh dicapai. Tanggungjawab sekarang adalah memastikan ia berkekalan,” katanya.




