KOTA KINABALU: Kenderaan yang ditunda Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akibat kesalahan parkir tidak akan dilelong, sebaliknya pemilik masih berpeluang menuntut semula kenderaan masing-masing dengan menyelesaikan bayaran berkaitan.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, berkata perkara itu antara penjelasan diberikan DBKK dalam perbincangan bersama beliau baru-baru ini berhubung pelaksanaan operasi penundaan kenderaan.
Menurutnya, DBKK menjelaskan tindakan penundaan hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas amaran diberikan kepada pemilik kenderaan.
Beliau berkata, pihak DBKK turut membuka ruang perbincangan bagi pemilik yang menghadapi kesukaran menjelaskan bayaran, termasuk mempertimbangkan penyesuaian pembayaran.
“Saya setuju bahawa DBKK telah mengambil langkah lebih berhemah sebelum tindakan penundaan dilaksanakan,” katanya.
Chan berkata, penjelasan itu diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai prosedur penundaan kenderaan serta pendekatan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, penguatkuasaan parkir penting bagi memastikan kelancaran lalu lintas, keselamatan pengguna jalan raya dan keselesaan pejalan kaki.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pelaksanaan tindakan berkenaan perlu mengambil kira keadaan di lapangan, termasuk kemampuan serta kesulitan yang mungkin dihadapi masyarakat.
Beliau berkata, isu penundaan kenderaan itu dibangkitkan susulan pelbagai maklum balas dan kebimbangan orang ramai yang disampaikan kepada pihak DBKK untuk diberikan perhatian sewajarnya.
Dalam perbincangan sama, Chan turut membangkitkan kebimbangan golongan peniaga, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME), berhubung kadar caj papan tanda perniagaan.
Menurutnya, DBKK menjelaskan bahawa kadar caj bagi papan tanda premis perniagaan yang terletak di dalam bangunan adalah rendah.
Chan berkata, beliau menghargai kesediaan DBKK untuk mendengar dan memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.
Sebagai wakil rakyat Kota Kinabalu, beliau akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa bagi memastikan setiap maklum balas dan kebimbangan rakyat dapat disampaikan melalui saluran perbincangan sewajarnya.
Katanya, usaha menjadikan Kota Kinabalu lebih teratur, bersih, selamat dan selesa memerlukan kerjasama semua pihak, selain penguatkuasaan berhemah serta perkhidmatan perbandaran yang sentiasa mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.



