HomeUtamaPadah komen berunsur hasutan di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

Padah komen berunsur hasutan di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang menerbitkan komen berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaison Bernard Sikayun, 41, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah ketika kes disebut semula untuk praperbicaraan.

Jaison mengaku bersalah menerbitkan penerbitan menghasut di ruangan komen sebuah halaman Facebook pada 11 Februari tahun ini, jam 1.30 tengah hari, di Tugu Peringatan Petagas, Putatan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu terlihat komen berkenaan pada satu hantaran di halaman Facebook mengenai kunjungan hormat Miss World 2025, Opal Suchata, Miss World Malaysia Taanusiya Chetty dan Pengerusi Pertubuhan Miss World, Julia Morley kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.

Komen yang diterbitkan menerusi akaun Facebook ‘Jbs General’ itu antara lain mengandungi dakwaan bahawa TYT Sabah merompak hasil negeri, selain kata-kata penghinaan terhadap beliau.

Pengadu berpendapat komen itu berunsur hasutan yang boleh menimbulkan kekeliruan, ketegangan serta persepsi negatif masyarakat terhadap TYT Sabah, lalu membuat laporan polis pada hari sama.

Hasil analisis risikan media sosial oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 13 Februari lalu mengenal pasti Jaison sebagai pengendali akaun Facebook ‘Jbs General’.

Telefon bimbit tertuduh kemudian dirampas pada 2 April lalu bagi membantu siasatan.

Laporan analisis Data Preservation pada 5 Mei lalu mengesahkan bahawa komen berkenaan diterbitkan menerusi akaun Facebook ‘Jbs General’ dan akaun itu boleh diakses melalui telefon bimbit yang dirampas.

Siasatan lanjut mendapati komen itu mempunyai kecenderungan menghasut yang mendatangkan kebencian dan penghinaan terhadap TYT Sabah, selain melampaui batas kritikan politik bebas kerana mengandungi kata-kata makian melampau.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya.

Dia turut memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibunya yang berusia 69 tahun dan mempunyai masalah kesihatan, termasuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis pula antara lain memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

RELATED ARTICLES
Utama

Penanda arah kiblat hanya kemudahan asas umat Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular