KUALA LUMPUR: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 suspek yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran 96.64 kilogram syabu menggunakan aset TUDM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata enam lagi suspek ialah orang awam. Kesemua mereka ditahan susulan penemuan syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Beliau berkata tangkapan itu dibuat menerusi beberapa siri operasi pada 17 November lalu hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan TUDM.
“Hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM, satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan, telah berjaya dibongkar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media penutup Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, berkata antara individu yang disyaki terbabit ialah juruterbang serta pegawai TUDM berpangkat leftenan dan kapten.
Anwar menyifatkan kes itu sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi” dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Saya mengatakan dalam sidang media ini, saya akan keluarkan juga (dedahkan) kerana saya tidak mahu ada yang beranggapan sengaja kita lengah,” katanya.
Beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Menurutnya, polis dan tentera memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan.



