HomeUtamaSeni cat air tonjol keaslian karya pelukis tempatan

Seni cat air tonjol keaslian karya pelukis tempatan

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Seni lukisan cat air terus menonjolkan keaslian dan keunikan hasil karya pelukis tempatan, meskipun industri seni kini berhadapan dengan perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Datuk Pengiran Abdul Azis Pengiran Damsah berkata, pihaknya berhasrat untuk melibatkan lebih ramai pelukis cat air dalam program kebudayaan anjuran lembaga itu pada masa akan datang.

Beliau berkata, seni cat air mempunyai peranan penting dalam perkembangan industri seni tempatan, termasuk menjadikan keunikan pakaian etnik dan warisan budaya masyarakat Sabah sebagai sumber inspirasi kepada penghasilan karya.

“Kepentingan seni cat air dalam industri seni tempatan tidak boleh dinafikan, apatah lagi keunikan pakaian etnik kita di Sabah yang boleh menjadi sumber ilham kepada para pelukis.

“Dalam dunia hari ini yang semakin dipengaruhi arus perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), pameran seperti ini menjadi medium penting untuk menonjolkan keaslian serta nilai seni yang dihasilkan melalui sentuhan manusia.

“LKNS akan terus menyokong usaha memartabatkan seni warisan dan memperkasakan pelukis tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran 3 Man Show Watercolor Exhibition di Balai Seni Lukis Sabah, di sini.

Pameran yang berlangsung dari 19 September hingga 13 Disember 2026 itu turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan menghargai sentuhan manusia, kreativiti dan ketelitian dalam menghasilkan sesebuah karya seni.

Menurut Abdul Azis, pameran berkenaan menghimpunkan karya tiga pelukis tempatan, iaitu Awad Bajerai, Charles Mawan dan Muslim Mattajim yang pernah menerima bimbingan daripada guru seni yang sama, Allahyarham Dzulkifli Abdul Rahman.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pelukis itu kemudiannya mengembangkan identiti dan gaya seni masing-masing sehingga menghasilkan karya dengan pendekatan visual yang tersendiri.

“Daripada akar bimbingan yang sama, kita hari ini dapat menyaksikan bagaimana ilmu tersebut berkembang menjadi tiga suara visual yang unik dan ketara perbezaannya,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar LKNS, Flora Iban dan Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Elisya Ahmad Shah.

RELATED ARTICLES
Utama

‘Extension cable’ rosak punca gangguan elektrik dewan bedah – JKNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular