HomeUtamaTiga dipenjara, enam didenda berhubung kesalahan bekalan elektrik

Tiga dipenjara, enam didenda berhubung kesalahan bekalan elektrik

Read Time:1 Minute, 21 Second

SANDAKAN: Tiga individu dijatuhi hukuman penjara sebulan setiap seorang, manakala enam lagi didenda keseluruhan RM20,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan berkaitan bekalan elektrik.

Kesemua sembilan kes itu diputuskan di hadapan Hakim Mohd Khushairy Ibrahim pada 18 November lalu.

Tiga individu yang dijatuhi hukuman penjara ialah Bilma Kasim, Norsan Dekeh dan Emeng Lajim.

Ketiga-tiganya melakukan kesalahan di bawah subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 berhubung sambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan Kampung Kagayan, Sandakan.

Empat individu lain turut didenda atas kesalahan sama di lokasi berkenaan.

Nurita Anggongan dan Jeselna Jani masing-masing didenda RM2,500, manakala Amil Maulana dan Alradzmil Jalseddik masing-masing didenda RM2,800.

Dalam dua kes berasingan pula, Chau Tsun Lun dan Chong Pui Yii masing-masing didenda RM5,000 di bawah subseksyen 61(3)(c) enakmen yang sama kerana menggunakan elektrik secara curang di kediaman masing-masing di Taman Astana Height, Sandakan.

Kesemua denda telah dibayar.

Sementara itu, Nurita dan Alradzmil, yang merupakan pemegang dokumen IMM13, turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia di Sandakan untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Energy Commission of Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.

ECoS dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kesalahan berkaitan bekalan elektrik kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan orang awam dan menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna lain.

“ECoS akan terus mempergiat penguatkuasaan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap pihak yang melanggar undang-undang bekalan elektrik di Sabah,” menurut kenyataan itu.

ECoS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sambungan elektrik secara haram, mengusik meter atau pepasangan elektrik, atau menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.

RELATED ARTICLES
Utama

‘Extension cable’ rosak punca gangguan elektrik dewan bedah – JKNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular