HomeUtama'Extension cable' rosak punca gangguan elektrik dewan bedah – JKNS

‘Extension cable’ rosak punca gangguan elektrik dewan bedah – JKNS

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Penggunaan kabel penyambung yang rosak dikenal pasti sebagai punca gangguan bekalan elektrik di dewan bedah sebuah hospital di Sabah sehingga menyebabkan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) gagal berfungsi.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada gangguan bekalan elektrik pada Papan Suis Subutama (Sub-Switch Board) di dewan bedah apabila pemutus litar utama terpelantik.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sistem UPS di Dewan Bedah Am tidak berfungsi, sekali gus mengakibatkan sistem janakuasa (genset) gagal mengambil alih bekalan elektrik secara automatik.

“Hasil semakan lanjut oleh pihak teknikal mendapati masalah berpunca daripada penggunaan kabel penyambung (extension cable) yang telah rosak dan tindakan pembetulan diambil serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, JKNS memastikan larangan penggunaan kabel penyambung dipatuhi di semua fasiliti kesihatan selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Dalam pada itu, JKNS memandang serius isu berkaitan aset kritikal hospital, termasuk sistem janakuasa, UPS dan penyaman udara yang telah melepasi jangka hayat penggunaan tetapi masih digunakan.

Sehubungan itu, beberapa projek penggantian UPS telah dilaksanakan di peringkat hospital bagi memastikan sistem sokongan bekalan elektrik sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

JKNS turut mengarahkan syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap genset, UPS, panel agihan elektrik serta peralatan perubatan kritikal di dewan bedah.

Sebarang anomali atau ketidaknormalan sistem perlu direkodkan dan diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran operasi hospital serta mengelakkan kejadian sama berulang.

JKNS menegaskan komitmennya untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kesihatan selain menjamin keselamatan pesakit dan anggota kesihatan yang bertugas.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang doktor terpaksa menjahit luka pesakit menggunakan cahaya lampu telefon bimbit susulan gangguan bekalan elektrik di sebuah hospital di Sabah.

Presiden MMA, Dr L Sivanaesan, berkata sekiranya dakwaan itu terbukti benar, keadaan berkenaan tidak boleh diterima kerana menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pesakit serta kebolehpercayaan infrastruktur kritikal hospital.

“Kerosakan berulang yang dilaporkan pada sistem penghawa dingin, gangguan bekalan elektrik dan air serta kegagalan sistem kuasa sandaran amat membimbangkan.

“Ini bukan isu penyelenggaraan kecil. Ia boleh menjejaskan keselamatan pesakit, kawalan jangkitan dan penyampaian penjagaan perubatan tepat pada masanya,” katanya.

Pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, mendakwa gangguan bekalan elektrik di sebuah hospital di Sabah memaksa seorang doktor menjahit luka pesakit menggunakan cahaya telefon bimbit. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga dipenjara, enam didenda berhubung kesalahan bekalan elektrik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular