HomeUtamaCuri minyak wangi RM711, lelaki dipenjara 12 bulan

Curi minyak wangi RM711, lelaki dipenjara 12 bulan

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Seorang pekerja am dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri sebotol minyak wangi bernilai RM711 di sebuah pusat beli-belah.

Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Jong Soon Vui, 49, dan memerintahkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapannya.

Mengikut pertuduhan, Jong didakwa mencuri sebotol minyak wangi jenama Paco Rabanne (Million Gold For Her) milik syarikat Beauty Love di Jesselton Mall, di sini, kira-kira jam 12.22 tengah hari pada 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, kehilangan minyak wangi berkenaan disedari pengadu pada 28 Jun lalu selepas pemeriksaan stok mendapati barangan itu tiada di rak pameran, selain tiada rekod pembelian dalam sistem jualan.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati Jong mengambil minyak wangi itu dari rak pameran sebelum memasukkannya ke dalam beg kitar semula yang dibawanya.

Dia kemudian beredar dari premis berkenaan tanpa membuat sebarang bayaran di kaunter.

Susulan maklumat yang diperoleh, Jong ditahan pada 3 Julai lalu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku menjual minyak wangi berkenaan kepada seorang wanita tidak dikenali yang melalui kawasan Kampung Air, Kota Kinabalu.

Semasa rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Carmen Khoo, yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jong belum berkahwin dan menghidap kanser limfoma.

Carmen berkata, tertuduh turut menyesal atas perbuatannya dan memohon hukuman ringan yang dikira dari tarikh tangkapan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Anggu memohon hukuman penjara lebih berat dengan mengambil kira rekod sabitan lampau tertuduh bagi kesalahan sama.

Menurutnya, Jong mempunyai pelbagai sabitan lampau, termasuk lima sabitan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, namun masih mengulangi kesalahan.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

PH Sabah pertahan tiga kerusi Parlimen, teliti kawasan baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular