TAWAU: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan barang kawalan bersubsidi.
Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Mohammad Roli Aliman, berkata kedua-duanya akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkapan.
“Selain itu, sebanyak 140 liter minyak petrol diperintahkan untuk dijual dan hasil jualannya diserahkan kepada Kerajaan sebagai hasil Kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kes berkenaan diserahkan oleh Pasukan Polis Marin Semporna, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, Samat Mapiare.
Mohammad Roli berkata pihaknya akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang berkaitan kawalan bekalan.



