KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohd Razali Razi mengalu-alukan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dan Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, berhubung usaha memperkukuh kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, GRS ketika ini menerajui Kerajaan Negeri Sabah bersama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain, dengan kerjasama itu penting bagi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan negeri berjalan lancar.
Menurutnya, keberkesanan kerjasama berkenaan turut dapat dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada Januari lalu, apabila kesepaduan jentera parti membantu memastikan kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi.
“Keputusan itu membuktikan pencapaian yang mampu diraih apabila semua pihak bergerak bersama berlandaskan persefahaman dan kerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keutamaan GRS ketika ini adalah memperkukuh kerjasama sedia ada dengan BN, PH dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Negeri Sabah, selain terus memelihara hubungan itu berlandaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati.
“Kerjasama politik yang kukuh membolehkan kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sabah, memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mempertahankan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia demi kepentingan rakyat,” ujarnya.



