PAPAR: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menyediakan penempatan sementara di asrama bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang bersekolah di kawasan berisiko banjir sebagai langkah memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, langkah itu merupakan antara persediaan jabatan berkenaan bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang tempoh peperiksaan yang berlangsung bermula hari ini hingga 17 Disember ini.
Katanya, persediaan berkenaan penting bagi mengelakkan calon terjejas akibat bencana, sekali gus memastikan kehadiran mereka ke pusat peperiksaan tidak terganggu.
“Persiapan kita juga kepada sekolah-sekolah yang berisiko banjir dengan menempatkan pelajar mereka sementara di asrama bagi mengelakkan mereka terkesan atau berdepan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena tinjauan pelaksanaan peperiksaan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, JPNS turut mengenal pasti Beluran, Beaufort dan Pitas sebagai antara daerah yang berisiko banjir dan memerlukan perhatian sepanjang tempoh peperiksaan.
Sehubungan itu, Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan JPNS bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan bekerjasama dengan pegawai daerah bagi memastikan sebarang kejadian banjir dapat ditangani dengan segera.
Katanya, kerjasama turut membabitkan agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis.
Beliau berkata, JPNS juga menyediakan mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berharap keadaan cuaca sepanjang tempoh peperiksaan terus baik bagi memudahkan calon dan petugas hadir ke pusat peperiksaan. – SABAH MEDIA



