HomeUtamaMekanisasi, automasi kurangkan kebergantungan tenaga kerja manual

Mekanisasi, automasi kurangkan kebergantungan tenaga kerja manual

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Penggunaan mekanisasi, automasi dan teknologi digital perlu dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan sektor agrikomoditi terhadap tenaga kerja manual, sekali gus meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi industri.

Memetik laporan BERNAMA, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penggunaan teknologi pintar termasuk kecerdasan buatan (AI) mampu mengubah kaedah operasi sektor agrikomoditi negara ke arah lebih moden dan berdaya saing.

Beliau berkata, perkembangan teknologi ketika ini membawa perubahan besar kepada industri komoditi utama negara termasuk kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

Menurutnya, penerapan teknologi dalam sektor berkenaan penting bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Noraini berkata, perkara itu turut menjadi antara lima tumpuan utama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang diharapkan mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027.

Katanya, selain mempercepat penggunaan mekanisasi dan automasi, kementerian turut memberi penekanan terhadap pendigitalan industri bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

Beliau berkata, transformasi teknologi itu perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan supaya industri agrikomoditi mampu memenuhi keperluan operasi yang semakin berorientasikan teknologi.

Sehubungan itu, KPK turut mahu pembangunan bakat tempatan diperkukuh menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta peningkatan penyertaan golongan belia.

Menurutnya, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting bagi memastikan sektor agrikomoditi dapat menyesuaikan diri dengan perubahan industri yang semakin bergantung kepada automasi dan teknologi moden.

Noraini berkata, sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 diharap dapat mempercepat transformasi sektor itu supaya terus menjadi antara tonggak ekonomi negara serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang.

Terdahulu, beliau melancarkan sistem Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), hasil kerjasama Agrobank dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS perkasa modal insan, pacu pembangunan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular