HomeUtamaProduk hiliran lada tempatan sasar pasaran lebih luas mulai 2027

Produk hiliran lada tempatan sasar pasaran lebih luas mulai 2027

Read Time:1 Minute, 40 Second

PETALING JAYA : Kerajaan menyasarkan lebih banyak produk hiliran berasaskan lada tempatan menembusi pasaran domestik dan antarabangsa mulai 2027 bagi meningkatkan nilai komersial komoditi itu.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, nilai jualan produk hiliran lada dianggarkan mencecah RM20 juta setahun, merangkumi produk makanan dan bukan makanan serta pelbagai bahan perasa.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 84 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan Lembaga Lada Malaysia berjaya menghasilkan 255 produk runcit berasaskan lada.

Katanya, kerajaan mahu lebih banyak produk berkenaan mendapat tempat di pasaran mulai tahun depan, sekali gus menggalakkan pembelian berulang dalam kalangan pengguna.

“Bila orang dah cuba dan suka, kita mahu mereka beli lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Lada Malaysia.

Noraini berkata, usaha memperkukuh industri itu turut disokong pembinaan sebuah pusat pemprosesan lada di Johor yang dijangka siap pada penghujung 2029.

Kemudahan berkenaan berupaya memproses sehingga satu tan metrik lada dalam tempoh sejam, sekali gus meningkatkan kapasiti pemprosesan bagi memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) itu bertujuan memastikan bekalan lada tempatan memenuhi spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan pembeli.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM1.3 juta bagi pelaksanaan pensijilan keselamatan makanan FSSC 22000.

Menurutnya, penggunaan lada di Malaysia dianggarkan sebanyak 32,500 tan metrik setahun, dengan permintaan utama daripada pengilang rempah, hotel, restoran dan syarikat katering.

Bagaimanapun, Malaysia masih mengimport sebanyak 4,437 tan metrik lada pada 2025 bagi memenuhi keperluan segmen pasaran tertentu.

Bagi memperkukuh kedudukan produk tempatan di pasaran antarabangsa, kerajaan turut memperuntukkan RM5 juta menerusi Program Pengukuhan Pasaran Lada Malaysia.

Noraini berkata, Jepun merupakan antara pasaran eksport penting yang menyumbang kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan eksport lada Malaysia pada 2025.

Justeru, pengusaha perlu memastikan bekalan yang dihantar sentiasa memenuhi spesifikasi serta standard kualiti bagi mengekalkan keyakinan pembeli di negara berkenaan.

Beliau turut menggesa Lembaga Lada Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu pengusaha yang berhasrat meneroka pasaran eksport.

RELATED ARTICLES
Utama

Sutera Sunset Cultural Walk platform promosi warisan budaya Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular