HomeUtamaSutera Sunset Cultural Walk platform promosi warisan budaya Sabah

Sutera Sunset Cultural Walk platform promosi warisan budaya Sabah

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Sutera Sunset Cultural Walk 2026 menjadi platform mempromosikan keunikan warisan budaya pelbagai etnik di Sabah sebagai antara tarikan pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Farish Aziz berkata, program itu merupakan antara inisiatif baharu bagi memperkasakan kebudayaan negeri menerusi pendekatan yang lebih interaktif dan menarik kepada pelancong.

Katanya, penganjuran sulung program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 500 peserta menyertainya, sekali gus melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

“Penganjuran Sutera Sunset Cultural Walk ini merupakan satu inisiatif yang julung kali diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Sabah pada tahun hadapan.

“Ia sesuatu yang baharu dan kita berharap dapat meneruskannya pada masa akan datang dengan sokongan semua pihak. Hari ini sahaja kita menyasarkan 500 peserta dan saya difahamkan lebih daripada 500 orang menyertai program ini.

“Ini merupakan satu permulaan yang baik dan kita berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Sutera Sunset Cultural Walk 2026 di Sutera Harbour Resort, di sini, pada Sabtu.

Menurut Farish, keunikan pakaian tradisional masyarakat pelbagai etnik di Sabah berpotensi memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong, khususnya pengunjung dari luar negara yang ingin mengenali kepelbagaian budaya tempatan.

“Apabila pelancong luar negara melihat kita mengenakan pakaian tradisional yang tidak terdapat di negara mereka, itulah antara sesuatu yang ingin mereka saksikan ketika melancong.

“Kita berharap pada 2027 lebih banyak program seperti ini dapat diusahakan bagi memperkasakan kebudayaan kita, bukan sahaja melalui pakaian tradisional, malah makanan, bahasa dan sebagainya,” katanya.

Program anjuran LKNS dengan kerjasama Sutera Harbour itu mengetengahkan pelbagai elemen kebudayaan menerusi enam lokasi persinggahan yang menampilkan persembahan muzik, seni lukis, kraf tangan, tekstil tradisional dan sajian tempatan.

Peserta turut berpeluang menikmati keindahan panorama matahari terbenam sebagai sebahagian daripada pengalaman yang ditawarkan sepanjang program berkenaan.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Brigedier Jeneral Datuk Al Hambra Tun Juhar; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Josie Lai Mei Sing; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour, Gerry D’Cruz; Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Robert Lipon; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Victoria Engku serta Ketua Pegawai Penyelarasan Sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027, Julinus Jeffery Jimit.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS perkasa modal insan, pacu pembangunan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular