HomeUtamaPICKids : Pendaftaran Di Sabah Masih Rendah, Ibu Bapa Digesa Daftar Anak...

PICKids : Pendaftaran Di Sabah Masih Rendah, Ibu Bapa Digesa Daftar Anak Terima Vaksinasi COVID-19

Read Time:3 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Seramai 32,186 kanak-kanak berumur antara lima dan bawah 12 tahun sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) sehingga Ahad lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu masih dilihat rendah kerana ia mewakili kurang 10 peratus  daripada 411,400 kanak-kanak yang layak dalam kumpulan sasar di negeri ini.

“Jumlah yang mendaftar setakat ini masih rendah. Saya nasihatkan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak berumur antara lima hingga 12 tahun ke bawah supaya mengambil peluang mendaftarkan mereka untuk vaksinasi di bawah PICKids,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran PICKids Peringkat Negeri Sabah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas disini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika hadir pada Majlis Pelancaran Imunisasi COVID-19 Kanak- Kanak (PICKids) Peringkat Negeri Sabah di Pusat Perubatan Nuklear dan Radiotherapi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Hajiji berkata, sehingga 14 Februari lalu, seramai 9,686 atau kira-kira tujuh peratus daripada mereka yang mendaftar telah menerima dos pertama sejak PICKids bermula di Sabah pada 3 Februari lalu.

Katanya, program itu telah bermula pada 3 Februari lalu membabitkan lima buah hospital iaitu HWKKS, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

“Program itu turut diperluaskan ke seluruh negeri dengan penubuhan 145 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melibatkan 109 Klinik Kesihatan, 22 hospital, 18 klinik swasta dan empat PPV awam, yang dipantau oleh pakar dan pegawai perubatan.

“Meneruskan program vaksinasi untuk melindungi kanak-kanak, khususnya mereka yang berumur antara lima dan bawah 12 tahun adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion daripada vaksin PfizerBioNTech yang dirumus khas untuk kanak-kanak dan telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Ia telah diluluskan untuk penggunaan selamat dan mempunyai keberkesanan untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.

Katanya, program vaksinasi kanak-kanak memerlukan dua dos vaksin untuk diberikan selepas lapan minggu.

“Berdasarkan data terkini, selama lapan minggu antara dua dos memberikan imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi dengan potensi memberikan perlindungan lebih lama,” katanya.

Tambahnya, sama seperti program untuk orang dewasa, vaksin di bawah PICKids adalah percuma untuk mereka yang tinggal di Sabah tanpa mengira status kewarganegaraan.

“Pemberian vaksin adalah secara sukarela dan ibu bapa atau penjaga perlu menandatangani surat kebenaran bertulis sebelum anak mereka layak menerima vaksin COVID-19.

“Sistem tempahan janji temu yang diwujudkan dalam aplikasi MySejahtera memberi kebebasan kepada ibu bapa dan penjaga untuk memilih tarikh serta masa yang paling sesuai dan PPV yang mereka ingin bawa anak mereka untuk menerima vaksin.

“Mereka juga boleh membawa anak-anak mereka untuk divaksin secara datang terus (walk-in) di PPV berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, proses vaksinasi untuk murid sekolah telah bermula pada 12 Februari di PPV sekolah, manakala JKNS telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan JAKIM untuk menjalankan program vaksinasi outreach di sekolah di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Pelancaran rasmi PICKids Sabah hari ini menunjukkan komitmen dan keikhlasan Kerajaan Negeri memastikan kanak-kanak berumur antara lima dan bawah 12 tahun di Sabah menerima vaksin COVID-19,” katanya.

Lebih 500 kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang tidak divaksin adalah antara 3,891 kes baharu COVID-19 yang dikesan di Sabah pada Ahad.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular