HomeIsu tempatanProgram pemerkasaan komuniti luar bandar tingkatkan kesedaran masalah penyakit malaria

Program pemerkasaan komuniti luar bandar tingkatkan kesedaran masalah penyakit malaria

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUDAT: Satu program telah dijalankan berkaitan mengkaji permasalahan penyakit malaria di kawasan luar bandar untuk meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat mengenai bahaya penyakit itu.

Program bersama komuniti itu telah diadakan di Dewan Kampung Lotong Daerah Kudat, hasil kerjasama dari pasukan penyelidik dari Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (FPER, UKM) dan Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (FPSK, UMS) dan juga penduduk luar bandar dari daerah ini.

Ketua Penyelidik dari FPER UKM, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, program ini telah mempamerkan hasil kerja peserta yang melibatkan diri dalam kajian penyakit malaria bermula pada bulan December 2021 hingga June 2022.

“Program kajian ini juga bertujuan menyelami dan meneroka permasalahan malaria monyet di kawasan luar bandar sekaligus dijalankan untuk memberi peluang komuniti memberi pendapat mereka berkaitan permasalahan yang berkait dengan penyakit malaria ini.

“Di sepanjang program berlangsung, pelbagai perspektif dan pandangan peserta telah dikongsi kepada pengunjung. Mereka berkongsi cabaran mengelak gigitan nyamuk walaupon pelbagai kaedah telah digunakan seperti memakai kelambu berubat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut Dr Mohd Rohaizat, mengikut pandangan mereka (peserta), terdapat pelbagai masalah di kampung-kampung yang terlibat yang menjadi antara punca masalah jangkitan malaria. Antaranya, masalah bekalan asas seperti air, elektrik dan jaringan internet.

Katanya, kekurangan kemudahan asas ini menyebabkan komuniti terpaksa mengambil air di sungai dan ini meningkatkan risiko gigitan nyamuk malaria. Bukan itu sahaja, ketiadaan jaringan internet menyukarkan mereka untuk mendapatkan talian.

“Oleh hal yang demikian, komuniti terpaksa keluar untuk mendapatkan talian internet seperti di dalam kebun getah, di atas bukit, dan di mana- mana sahaja lokasi yang sesuai. Kawasan kampung ini dikelilingi oleh kebun getah, kelapa sawit, kelapa, dan hutan yang meningkatkan risiko gigitan nyamuk malaria,” jelasnya.

Justeru, mereka turut memberitahu di hutan dan kebun yang berhampiran juga sering kali terdapat kehadiran monyet yang menganggu kehidupan mereka kerana monyet- monyet ini memusnahkan tanaman dan berada berhampiran rumah mereka.

Pameran kajian “photovoice” oleh peserta-peserta program.
Pameran kajian “photovoice” oleh peserta-peserta program.

Dalam hal berkaitan, acara menarik pada program itu ialah pameran foto hasil dari 26 orang peserta yang terlibat dalam kajian “Photovoice” bertemakan “Elak Gigitan Nyamuk, Elak Malaria”.

Peserta- peserta terlibat terdiri dari penduduk-penduduk Kampung Manduri, Kampung Paradason, Kampung Membatu Laut dan Kampung Tagumamal Darat.

Sebanyak hampir 200 foto telah dipamerkan yang menggambarkan dan menceritakan kepercayaan penduduk bagaimana penyakit malaria monyet ini boleh disebarkan, apakah cabaran komuniti untuk mengelak gigitan nyamuk, dan apakah cara alternatif yang digunakan oleh mereka untuk mengelak gigitan nyamuk.

Program ini turut dihadiri Prof Dr Mohammed Saffree Jeffrey, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku penyelidik bersama serta pasukan penyelidik dan pensyarah dari UKM dan UMS.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

20 anak yatim Rumah Amal Kasih Kingfisher terima sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya