KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terus bersedia 24 jam bagi memantau bekalan elektrik berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak Jumaat lalu.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, angin kencang serta hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan sekitar Pantai Barat dan Pedalaman Sabah itu telah mengakibatkan tiang dan pokok tumbang.
Katanya, kejadian itu juga mengakibatkan berlaku hakisan tanah serta banjir kilat di beberapa kawasan.
“Kejadian ini turut mengakibatkan banyak pepasangan SESB mengalami kerosakan teruk dan seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.
“Justeru itu, pasukan teknikal dengan bantuan kontraktor SESB yang dilantik sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Idris berkata, anggota kerja teknikal SESB yang sedang bercuti menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha turut diarahkan untuk membantu dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik di kawasan terlibat.
“Pasukan siap sedia ini bertugas berterusan dengan mengambil tindakan pembaikan ke atas semua aduan yang meningkat mendadak disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ini dan keutamaan kerja-kerja pemulihan ini diberikan kepada tempat-tempat yang kritikal seperti hospital dan juga yang melibatkan keselamatan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata, antara kawasan-kawasan yang dikenalpasti banyak mengalami gangguan bekalan disebabkan oleh kejadian ini adalah di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Tenom, Kota Belud, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, pihak SESB amat menghargai kesabaran dan kerjasama para pengguna sepanjang tempoh pemulihan bekalan ini.
Beliau turut menasihati pengguna untuk tidak menyentuh talian yang terjatuh ke tanah atau berjuntai bagi mengelakkan renjatan elektrik.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menjauhi takungan air yang menenggelami kabel bawah tanah SESB untuk mengelak sebarang kebocoron arus,” katanya.
Sebarang laporan mengenai tiang elektrik tumbang, talian terputus atau gangguan bekalan boleh disalurkan ke SESB Careline di talian 15454, 088- 51500 atau melalui aplikasi Whatsap 019-8525427.