PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyarankan orang ramai untuk bijak menggunakan platform media sosial berhubung isu sampah sarap di daerah Putatan.
Beliau berkata, kerjasama seperti aduan atau komen yang dibuat oleh orang ramai khususnya penduduk di daerah itu adalah amat dialukan, bagi memastikan supaya tindakan segera dapat dilakukan.
Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berkata, sebagai kerajaan pemerintah, pemimpin atau pihak yang berkenaan sepatutnya tidak ralat, sekiranya terdapat aduan negatif berhubung keadaan semasa, sebaliknya perlu bijak memanfaatkan laporan yang diadukan rakyat.
“Ya, zaman teknologi dan kemudahan media sosial ini kita selaku yang bertanggungjawab tidak terlepas akan kritikan terutamanya berlaku isu-isu sampah sarap, persekitaran kotor dan sebagainya di Putatan.
“Laporkan terus kepada pihak yang berkaitan kerana kebanyakan pihak berkuasa tempatan sekarang juga mempunyai ‘page’ atau halaman di laman sosial media masing-masing.
“Oleh yang demikian, aduan dan maklum balas daripada orang ramai mesti kita selesaikan dan ditangani, bagi memastikan pemelegaan atau penyelesaian dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan keadaan sampah sarap di kawasan Kampung SRI Pandan, Putatan, petang tadi.
Jelas Shahelmey, hasil maklumat awal, longgokan sampah tersebut tidak dipunggah dan dipungut oleh Majlis Daerah Putatan (MDPTN) sejak tiga hari lalu.
“Saya sendiri ada turun meninjau keadaan ini dan kita telah memaklumkan pihak majlis (MDPTN) agar berbuat sesuatu menangani isu berkenaan.
“Ya, kita maklum aduan penduduk, dan saya telah mengarahkan supaya pihak berkaitan untuk mengambil tindakan segera,” katanya.