HomeEkonomiMalaysia, Arab Saudi perkukuh agenda Sekuriti Makanan Negara

Malaysia, Arab Saudi perkukuh agenda Sekuriti Makanan Negara

Read Time:2 Minute, 0 Second

PUTRAJAYA : Hasil eksport dan import produk pertanian antara Malaysia dan Arab Saudi pada tahun lalu dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan hasil dan produk pertanian kedua buah negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia telah berjaya mengeksport hasil dan produk pertanian sebanyak RM2.4 bilion ke Arab Saudi pada tahun lalu.

Manakala jumlah import hasil dan produk pertanian Arab Saudi adalah sebanyak RM100 juta.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah mengetuai delegasi MAFI bagi menghadiri mesyuarat dua hala ke Arab Saudi mulai 24 hingga 26 Ogos.

Mesyuarat dua hala ke Arab Saudi ini adalah atas undangan Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi H.E. Eng. Abdulrahman A. Alfadley sebagai susulan lawatan rasmi beliau bersama delegasi ke Malaysia pada 13 Julai yang lalu.

Lawatan delegasi MAFI ini adalah bertujuan meneruskan rundingan bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian bersama Arab Saudi merentasi pelbagai subsektor agromakanan.

Mesyuarat dua hala ini dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi dan disusuli dengan mesyuarat bersama MAFI dan Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi.

Pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincang secara lanjut bagi mengukuhkan agenda sekuriti makanan kedua-dua buah negara.

Pertemuan turut diadakan dengan Saudi Agricultural and Livestock Investment Company (SALIC) dan Saudi Agricultural Development Fund (ADF) yang masing-masing telah membuka peluang untuk meneroka kolaborasi bersama yang akan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Beberapa siri perbincangan lain juga telah diadakan termasuk bersama Saudi Food and Drug Authority (SFDA) bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan negara ke Arab Saudi dan National Research and Development Center for Sustainable Agriculture (Estidamah) bagi membincangkan kerjasama teknikal dan penyelidikan pertanian bersama Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI).

Antara aspek potensi kerjasama yang akan diterokai termasuk R&D bersama, makmal bersama, pertukaran pakar teknikal, pertanian moden, dan perkongsian maklumat teknikal serta teknologi pertanian.

Ini bakal menandakan kerjasama penyelidikan pertanian yang pertama untuk MARDI di Arab Saudi.

Kerjasama erat yang terjalin melalui mesyuarat dua hala ini diharap akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah perdagangan dan kerjasama dua hala dalam usaha mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara.

Ini juga selaras dengan komitmen Kerajaan khususnya dalam usaha menjamin ekosistem sekuriti makanan yang lebih inklusif melalui kerjasama strategik yang komprehensif bagi mempelbagaikan sumber dan rantaian bekalan makanan demi kemampanan industri agromakanan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri memperuntukan RM50.9 juta subsidi ICPT untuk pengguna elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular