HomeSukanSUKMA XX : Farrel Glen sumbang emas pertama Sabah, dominasi acara lompat...

SUKMA XX : Farrel Glen sumbang emas pertama Sabah, dominasi acara lompat tinggi lelaki

Read Time:1 Minute, 42 Second

KUALA LUMPUR : Sabah memperoleh emas pertama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX 2022 menerusi atlet lompat tinggi Farrel Glenn Felix Jurus bagi acara lompat tinggi lelaki di Stadium Bukit Jalil di sini pagi tadi.

Sabah turut mendominasi acara sama apabila turut memenangi pingat perak menerusi atlet kebangsaan Mohamad Eizlan Dahalan.

Farrel Glenn,20, melakukan lompatan terbaik setinggi  2.15m, mengatasi rakan sepasukan yang juga atlet kebangsaan, Mohamad Eizlan Dahalan yang sekadar mencatat lompatan terbaik 2.06m.

Acara itu melibatkan 14 peserta tetapi tinggal dua atlet Sabah yang bersaing sesama sendiri selepas paras 2.03m iaitu lompat terbaik pemenang pingat gangsa dari Perak, Kuan Jyh Yun.

Cabaran Eizlan yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA di Hanoi Mei lalu turut berakhir selepas gagal melepasi ketinggian 2.14m, meninggalkan Farrel Glen sendirian melakukan lompatan emas 2.15m.

Farrel (kiri) dan Eizlan selepas menamatkan saingan lompat tinggi lelaki sebagai pemenang pingat emas dan perak SUKMA XX di Kuala Lumpur.

Farel Glenn seterusnya cuba melepasi paras 2.18m tetapi gagal.

Ditemui selepas menamatkan acara, Farrel Glenn yang juga bekas atlet pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah berkata, pencapaian itu meletakkannya di landasan baik memburu tempat ke Sukan SEA.

“Sasaran saya seterusnya ialah mendapat tempat dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA. Saya akan terus berusaha.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong terutama Majlis Sukan Negeri Sabah, keluarga dan jurulatih,” katanya.

Ditanya tentang kejayaan menewaskan Eizlan, Farrel Glenn berkata, beliau hanya cuba memberikan yang terbaik.

Apapun, beliau gembira menjadi penyumbang emas pertama Sabah yang juga kejayaan besar pertamanya dalam SUKMA selepas gagal meraih sebarang pingat pada penampilan pertama di sukan terbesar negara tersebut di Ipoh, empat tahun lalu.

Lompatan emas 2.15m itu juga adalah catatan peribadi terbaiknya. Catatan terbaiknya sebelum ini adalah 2.14m.

Sambil itu, acara akhir lompat kijang wanita yang berlangsung di sebelah acara lompat tinggi menyaksikan Sabah menang pingat gangsa menerusi Dayang Shari Uluk dengan catatan jarak lompatan 11.53m. Pingat emas dimenangi Nurul Ashikin Abas (Perak: 12.81m) dan pingat perak dimenangi Ng Yu Jie (Pahang: 11.79m).

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala SMJ : Persiapan Sabah FC untuk lihat kekuatan, kelemahan pasukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya