HomeUtamaSabah peroleh ekuiti dalam projek PETRONAS

Sabah peroleh ekuiti dalam projek PETRONAS

Read Time:1 Minute, 39 Second

TENOM: Kerajaan Sabah meletakkan syarat kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk memberi kepentingan kepada negeri ini menerusi beberapa projeknya yang dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah perlu memberikan ekuiti atau pegangan projek gas asli cecair (LNG) dan Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, menerusi syarat itu, PETRONAS telah bersetuju untuk memberikan ekuiti atau pegangan 25 peratus masing-masing dalam projek LNG dan SAMUR di SOGIP bagi menyalurkan gas asli dari negeri ini ke Bintulu, Sarawak.

“Baru-baru ini saya mengutus surat kepada PETRONAS mengenai penyaluran gas dari Kimanis ke Bintulu. Kita tekankan bahawa mereka jika menyalurkan gas dari Sabah ke Bintulu melalui tanah Sabah mesti beri kepentingan kepada Sabah dan mereka setuju.

“Mereka (PETRONAS) boleh menyalurkan gas ke Bintulu dengan syarat beri 25 peratus saham di projek LNG di SOGIP. Selama ini kita tiada pegangan di SAMUR dan PETRONAS beri juga 25 peratus ekuiti di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom, di sini, hari ini.

Perkara itu dipersetujui PETRONAS selepas beliau mengutus surat kepada syarikat minyak negara itu berhubung permintaan kerajaan negeri sebagai balasan terhadap kebenaran yang diberikan Sabah untuk membawa keluar gas asli dari negeri ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, PETRONAS juga bersetuju untuk memberi 30 peratus hingga 50 peratus bagi pengeluaran gas dari telaga minyak.

Katanya, Kerajaan Negeri dijangka akan menandatangani berhubung perkara itu dengan PETRONAS sebelum akhir bulan ini atau bulan depan.

“Ia adalah antara pencapaian GRS dalam usaha menuntut hak Sabah melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang mampu memberi hasil tambahan berbilion ringgit kepada Sabah.

“Banyak perkara diberi kuasa kepada Sabah untuk dilaksanakan yang kita tuntut selama ini daripada Pusat. Antaranya isu berkaitan pembayaran PETRONAS.

“Dulu hanya bayar royalti saja, tapi mulai tahun lalu PETRONAS bayar tambahan lima peratus lagi cukai jualan minyak yang dikeluar di Sabah dan banyak lagi yang kita dapat dari PETRONAS,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular