KOTA KINABALU : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M. Yahya menyangkal dakwaan kononnya DUN Sabah menghadapi risiko pembubaran secara automatik jika tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini.
Katanya, meskipun Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan dari tempoh terakhir sidang yang lalu, tetapi Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Oleh itu, orang ramai adalah diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Sidang Bajet 2021 pada Disember 2020 yang lalu,” katanya dalam kenyataan disini petang ini.
Kadzim berkata, DUN Sabah adalah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa apabila kerajaan negeri menetapkan tarikh untuk mengadakan persidangan.