Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Sebanyak 60 majikan telah diperiksa dalam satu Operasi Bersepadu dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Mac hingga 8 Mac 2023 di sekitar Kota Kinabalu.
Operasi Bersepadu KSM dilaksanakan melibatkan jabatan dan agensi di bawah KSM yang terdiri daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, Operasi Bersepadu yang julung kalinya diadakan di Sabah ini melibatkan seramai 57 pegawai kesemuanya dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan bidang kuasa di bawah jabatan dan agensi masing-masing secara bersama.
“Antara objektif operasi ini dilaksanakan adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang perburuhan dan mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan setiap jabatan dan agensi secara bersepadu selain daripada memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerja terpelihara.
“Operasi dijalankan terhadap majikan yang menggaji lebih daripada sepuluh orang pekerja dan ke atas sahaja,” katanya pada sidang media selepas menjalankan pemeriksaan di salah sebuah lokasi sempena Operasi Bersepadu KSM di sekitar Kota Kinabalu hari ini.
Menurut Wan Zulkifli, hasil daripada pemeriksaan terhadap 60 majikan, ada beberapa perkara yang majikan tidak patuhi antaranya berkenaan dengan gaji minimum pekerja.
“Hasil daripada perkara yang telah kita lawati terhadap 60 majikan pada hari pertama dan kedua, kita dapati beberapa perkara yang telah majikan tidak patuhi, pertama sekali majikan ini boleh dikatakan masih lagi gagal memberi gaji minimum mengikut perintah gaji minimum 2022.
“Perintah gaji minimum 2022 ini telah berkuatkuasa di negeri Sabah bermula pada Mei 2022 iaitu majikan perlulah membayar gaji pekerja sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan atau RM57.70 sehari ataupun RM7.90 per jam iaitu mengikut kadar lapan jam sehari.
“Namun hasil daripada lawatan pada operasi hari ini menerusi operasi yang kita jalankan, sebahagian besar majikan masih lagi belum mematuhi perkara ini,” katanya.
Manakala perkara kedua yang didapati dari hasil operasi itu, katanya, kebanyakan majikan tidak patuhi ialah dari segi potongan gaji pekerja.
“Kita dapati majikan masih lagi memotong gaji pekerja tanpa mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah.
“Ini juga merupakan suatu kesalahan, mana-mana gaji pekerja tidak boleh dibuat potongan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah, justeru, saya memohon kepada para majikan di negeri ini sekiranya ingin membuat apa-apa potongan, perlulah memohon dengan JTK Sabah terlebih dahulu kerana ada juga potongan-potongan tersebut melibatkan potongan yang tidak boleh dibuat oleh majikan dan ini merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang atau Sabah Ordinan,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, perkara ketiga yang paling besar iaitu majikan tidak membayar atau salah pengiraan pembayaran untuk overtime atau kerja lebih masa.
“Jadi dalam operasi kali ini kami telah mengeluarkan syor kepada majikan supaya mereka membayar balik tunggakan-tunggakan yang kurang tadi.
“Kita akan mengambil tindakan susulan supaya perkara ini dipatuhi oleh majikan dan saya menyeru kepada para majikan yang lain supaya perkara ini turut dipatuhi oleh mereka,” ujarnya.
Menurut Wan Zulkifli, antara akta yang dikuatkuasakan dalam operasi ini iaitu:
(a) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Kaedah-Kaedah Buruh; (b) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum;
(c) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971;
(d) Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800);
(e) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya;
(0) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya;
(g) Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612) dan Peraturan- Peraturan di bawahnya; dan
(h) Akta-Akta dan Dasar yang dikuatkuasakan dari masa ke masa.
Operasi yang dilaksanakan itu melibatkan sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, perdagangan jual borong dan jual runcit dan maklumat dan telekomunikasi.
Sehubungan itu, sebanyak 39 notis pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan. Tindakan undang-undang seperti kompaun dan pendakwaan akan diambil kepada majikan yang tidak mematuhi notis pematuhan yang dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pada masa sekarang empat majikan telah kita syorkan untuk buka kertas siasatan tetapi kerana ini berbentuk Operasi Bersepadu pihak JTK dan jabatan-jabatan lain akan mengadakan lawatan susulan kepada mereka kerana apa yang penting kepada JTK dan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia kita lebih ke arah diplomatik and development approach untuk berhadapan dengan majikan.
“Tetapi jika majikan masih lagi berdegil tidak mematuhi barulah kita pergi ke fasa kedua iaitu melakukan pendakwaan supaya diberi pengajaran kepada majikan tersebut dan juga majikan-majikan lain agar hak-hak dan kebajikan pekerja dapat kita jaga dan juga kita bela,”tegas beliau.
Tambahnya, pematuhan dari segi perundangan pentadbiran, pihak KSM akan memastikan majikan mematuhi dalam tempoh 14 hari dan jika masih lagi tidak mematuhi dalam tempoh tersebut barulah tindakan berikutnya akan diambil.
Justeru katanya, KSM memandang serius ketidakpatuhan akta-akta yang dikuatkuasakan di bawah kementerian ini.
“KSM menggesa semua majikan di seluruh Negeri Sabah sentiasa peka dan mematuhi kehendak akta-akta yang dikuatkuasakan kementerian, jabatan dan agensi di bawah KSM,” katanya.