KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Abdul Rahman Zakaria dilantik sebagai setiausaha agung badan sukan berkenaan.
Presidennya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pelantikan berkenaan dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat eksekutif yang diadakan pada 9 Jun lalu.
Selain itu katanya, jawatan bendahari agung pula masih kekal disandang oleh Datuk Jasnih Daya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit.
“Bagi jawatan Penolong Setiausaha Agung SAFA, mesyuarat juga sebulat suara bersetuju untuk melantik Shamsuddin Mohd Shah yang sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA.
“Penstrukturan semula jawatankuasa badan sukan ini amat penting bagi memastikan pembangunan dan pengurusan SAFA terus berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Shahelmey berkata, umum mengetahui, SAFA memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.
Katanya, antara fokus utama adalah mengenal pasti pemain berbakat bermula dari peringkat akar umbi.
“Melalui persatuan ini, kita dapat menganjurkan pelbagai program untuk mengilap bakat pemain berpotensi menerusi program latihan bola sepak akar umbi dan kursus kejurulatihan berterusan.
“Begitu juga dengan pembangunan pengadilan yang menjadi antara aspek utama yang ditekankan dalam perkembangan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Shahelmey berkata, SAFA juga bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran pembangunan pasukan futsal untuk lelaki dan wanita.