HomeSukanFAM kekal hukuman denda JDT, Mohamad Faisal

FAM kekal hukuman denda JDT, Mohamad Faisal

Read Time:1 Minute, 6 Second

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan hukuman denda RM120,000 dan penggantungan selama sebulan masing-masing terhadap kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pemain sayap sensasi Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM dipengerusikan Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff, semalam yang membincangkan sebanyak empat kes.

“Bagi tiga kes pertama iaitu membabitkan penyokong JDT membakar suar, rayuan yang dikemukakan oleh JDT telah ditolak sekali gus hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan  dikekalkan.

“Sementara bagi kes keempat iaitu membabitkan pemain Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan,” menurut kenyataan FAM, hari ini.

Namun, jawatankuasa itu bersetuju membenarkan Mohamad Faisal kembali menjalani latihan bersama Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya.

Dalam kenyataan berasingan, FAM memaklumkan tarikh baharu bagi penjualan tiket saingan Pestabola Merdeka 2023 yang sepatutnya dijual pada Selasa lepas telah diubah kepada 9 Ogos.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata perubahan berkenaan disebabkan majlis undian kejohanan edisi ke-42 itu yang akan berlangsung pada 8 Ogos.

Pestabola Merdeka 2023 yang menggunakan format kalah mati disertai empat pasukan iaitu Malaysia, Palestin, Lubnan dan India.

Kejohanan itu dijadual berlangsung pada 13 dan 17 Okt di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Lebih 1,500 meriahkan HSN daerah Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular