Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Walaupun berada dalam tirai besi, penghuni penjara wanita tetap menjalani kehidupan yang sihat dan cergas dengan mengikuti aktiviti Pertandingan Tarian Zumba anjuran Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK).
Pertandingan Tarian Zumba Gaya Hidup Sihat Peringkat Penghuni PWKK menyaksikan enam pasukan berentap mempersembahkan tarian masing-masing terdiri daripada peserta-peserta yang mewakili dari bengkel-bengkel yang ada di PWKK.
Penolong Penguasa Penjara (PPP) PWKK Nor Hazlin Mohammed Yunos berkata, acara pertandingan tarian zumba itu adalah acara tahunan antara aktiviti yang dijalankan dalam penjara.
“Walaupun mereka (banduan) berada dalam tembok batu ini tapi kami juga mahu mereka menjalani gaya hidup yang sihat seperti tarian zumba ini supaya mereka ada pengetahuan, mahir dan berbakat, siapa tahu mereka boleh jadi juri tarian zumba bila keluar dari sini kelak,” katanya ketika ditemui pemberita semasa acara tersebut pada petang Jumaat (25 Ogos).
Seramai tiga orang juri profesional wanita dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijemput untuk menjadi juri dalam pertandingan itu.
Sementara itu, Emma (bukan nama sebenar) seorang penghuni wakil peserta dari Bengkel Jahitan PWKK berkata, dia sangat meminati tarian zumba, selain dapat menyihatkan badan, ia juga memberi kesihatan mental.
“Saya sangat meminati dalam bidang tarian ini, saya rasa sihat dan fikiran saya tenang, selepas seharian menjalankan aktiviti jahitan, mempelajari bidang agama serta pembelajaran-pembelajaran lain,” katanya.
Emma, 26, menjalani hukuman 17 tahun penjara atas kesalahan Pemerdagangan Manusia.
Dia dijatuhkan hukuman pada 2018, katanya, dia menyesal dan terjebak dengan kesalahan itu semasa berada di dalam sebuah rumah sewa yang dihuni bersama empat orang warga asing tanpa dokumen dan seorang lelaki tempatan.
“Polis telah membuat serbuan ke atas rumah sewa itu dan kami semua tertangkap, akhirnya saya disabitkan kesalahan dan menerima hukuman ini,” jelasnya.
Namun begitu, Emma yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun, bertekad untuk menjadi lebih baik dan membina kehidupan yang baharu bersama anak dan suaminya apabila keluar dari penjara nanti.
Selain itu, walaupun berada dalam hampir lima tahun dalam tembok batu itu, Emma tidak pernah putus asa tetap meneruskan pembelajarannya dan telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan 1A, 2B, 2C.
“Berita baik saya terima, saya telah diterima mengikuti kursus diploma dalam bidang perubatan di Semenanjung dalam masa terdekat ini.
“Saya sangat gembira mendengar berita itu, lagipun saya akan dekat dengan suami saya yang berada di Semenanjung, walaupun saya masih menjalani hukuman dan hanya berpindah penjara di Semenanjung,” katanya.
Emma yang juga mahir menjahit manik memberitahu bahawa dia mendapat tajaan biasiswa penuh dari penjara untuk meneruskan pembelajaran hingga ke peringkat diploma.
Dia juga turut menasihatkan kepada belia di luar sana supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak baik namun lebih menghargai kehidupan di luar sana, belajar muhasabah diri dan mencari matlamat sebenar untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.