HomeUtamaSabah sentiasa beri sokongan kepada MUIS perkukuh potensi wakaf

Sabah sentiasa beri sokongan kepada MUIS perkukuh potensi wakaf

Read Time:2 Minute, 5 Second

Tawau : Kerajaan Sabah sentiasa memberikan sokongan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk terus memperkukuhkan lagi pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah dengan memberi penekanan terhadap kerjasama dan keterlibatan bersama pelbagai pihak pemain industri wakaf di Malaysia.

Katanya, kerjasama itu termasuklah daripada agensi-agensi kerajaan persekutuan mahupun negeri-negeri, selain entiti perniagaan korporat yang ingin sama-sama menyumbang ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang tahun 2030.  

“Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua urusan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri, dan diperkuat dengan Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri yang menyebut Majlis Agama Islam Negeri adalah sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah wakaf. 

“Di Sabah, rang undang-undang Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 menyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 3(1) yang memperuntukkan bahawa ‘Majlis merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua jenis mawquf’ dan juga sokongan kerajaan negeri menerusi persidangan di Dewan Undangan Negeri telah mengiktiraf kuasa yang diberikan ini khususnya dalam aspek pengurusan dan pembangunan hartanah wakaf itu sendiri di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Wakaf Yayasan Infaq Angkasa-MUIS di Bangunan t2 @ Apas Tawau di sini hari ini.

Arifin berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ANGKASA melalui Yayasan Infaq ANGKASA atas tindakan segera bagi menyokong inisiatif wakaf khususnya di Sabah.

“Saya juga difahamkan pihak MUIS dengan usahasama Sedcovest Holdings Sdn.Bhd dalam peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan kebenaran menduduki bangunan daripada pihak berkuasa tempatan bagi pembukaan bazaar rakyat yang ketujuh di negeri Sabah yang telah didirikan di tapak tanah wakaf Masjid Al-Kauthar dengan kapasiti sebanyak 28 lot ruang niaga untuk ditawarkan kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah Tawau. 

“Justeru, besar harapan saya agar industri wakaf ini dapat terus diperkukuhkan mengikut acuan masa kini serta belandaskan hukum syarak dan kesannya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat yang akhirnya dapat menjadikan wakaf sebagai wadah pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi ummah,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, bulan September setiap tahun telah dipilih sebagai Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah yang diisi dengan pelbagai program bermanfaat.

Antaranya, Forum Kesedaran Wakaf dan Zakat di Sandakan Sabah; Pelancaran Wakaf Pertanian (WATANI; Seminar Kesedaran Wakaf dan Zakat di Kota Kinabalu ; Pelancaran Wakaf Tunai Kesihatan; Perasmian Klinik Bergerak Wakaf kerjasama Waqaf An-Nur, KPJ dan MUIS dan  Bengkel Kefahaman Enakmen Wakaf Negeri Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mesyuarat berhubung isu GISBH di Sabah diadakan bulan depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular