HomeUtamaKPT pertimbangkan laluan khas politeknik kepada pelajar aliran agama, huffaz

KPT pertimbangkan laluan khas politeknik kepada pelajar aliran agama, huffaz

Read Time:1 Minute, 31 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan untuk membuka laluan khas ke politeknik dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian itu kepada pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan Maahad Tahfiz al-Quran.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan itu bakal membuka peluang serta laluan lebih besar untuk pelajar jurusan berkenaan mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT.

“Ini bermakna, jika sekarang Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada empat program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah, selepas ini pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan yang lebih besar dan pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KPT di Dewan Rakyat semalam.

Mohamed Khaled berkata cadangan itu selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip serta aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai unggul dalam diri untuk disatukan dengan kemahiran terbaik.

Beliau berkata KPT juga ketika ini sedang merangka pelan transformasi politeknik yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

Selain itu, Mohamed Khalid berkata terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus atau 20,520 kemasukan penuntut ke politeknik bagi program TVET pada tahun ini berbanding 16,962 orang tahun lepas.

Beliau berkata bagi semua program TVET yang diuruskan KPT, sebanyak 79.6 peratus daripada tempat yang tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah 144,816 pelajar secara keseluruhan.

“Sekalipun jumlah kemasukan ke program TVET di KPT adalah baik, KPT akan terus merancakkan usaha untuk memaksimumkan kemasukan sekali gus memenuhi tempat dan kapasiti yang sedia ada.

“Ia merangkumi syarat serta akses kemasukan yang dipermudahkan serta laluan khas kemasukan kepada golongan rentan,” katanya.

Persidangan bersambung hari ini.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

1,224 barang rampasan bernilai lebih RM100,000 di Sabah dilupuskan ST

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular