HomeUtamaKebajikan mahasiswa Sabah terus diambil perhatian

Kebajikan mahasiswa Sabah terus diambil perhatian

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kuala Lumpur : Kerajaan Sabah tidak pernah meminggirkan keperluan mahasiswa Sabah sama ada di dalam dan luar negara malah terus prihatin dan mengambil berat mengenai kebajikan dan keperluan semua mahasiswa negeri itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, mahasiswa negeri itu merupakan modal insan yang akan menyambung agenda Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, Kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa inisiatif bantuan pendidikan di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM 43 juta.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan kewangan yang dihadapi oleh golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak-anak ke Institusi Pengajian Tinggi.

“Justeru itu, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) telah mula diperkenalkan pada tahun lalu dan diteruskan lagi pada tahun ini. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk membiayai pendaftaran anak-anak ke IPT.

“Bantuan sebanyak RM 1,500.00 akan diberikan kepada pengajian di peringkat Diploma dan Matrikulasi, manakala sebanyak RM 2,000 untuk pengajian di peringkat Ijazah. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 10 juta dengan sasaran seramai 5000 orang pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah di Universiti Kuala Lumpur (UNiKL) di sini kelmarin.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, selain BUDI, beberapa bantuan lain turut dilaksanakan antaranya, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) ; Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI).

Katanya, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) sebagai usaha untuk menggalakkan peningkatan kecemerlangan pelajar-pelajar Sabah dalam pelbagai bidang sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Anugerah ini diharap dapat menyuntik lagi semangat pelajar-pelajar ini untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM 100,000 bagi penganugerahan ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) akan meneruskan insiatif Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dengan bantuan sebanyak RM 2,000.

“Bantuan ini dijangka akan melibatkan sebanyak 1,500 sekolah di Sabah. Manakala untuk bantuan kelengkapan sekolah juga diteruskan melalui BISBAH dengan peruntukan sebanyak RM 12 juta dengan anggaran 1500 penerima pada tahun ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular