HomeUtamaRumah pengantara bantu tingkat kemahiran, perbaiki sahsiah banduan

Rumah pengantara bantu tingkat kemahiran, perbaiki sahsiah banduan

Read Time:1 Minute, 34 Second

Tuaran : Sebuah lagi rumah pengantara bekas banduan dibuka di negeri ini bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran selain memperbaiki sahsiah diri bekas banduan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifudin Nasution berkata, rumah yang terletak di Kampung Panjut itu merupakan yang ketiga di Sabah yang sebelum ini masing-masing dibuka di Kepayan dan Sandakan.

“Pentingnya inisiatif rumah pengantara ini kerana pertamanya dia menunjukkan bahawa ‘stakeholder’ dikalangan masyarakat, individu dan badan-badan kebajikan mereka boleh mengambil bahagian bersama dengan Jabatan Penjara.

“Yang keduanya kita boleh kurangkan dari segi bebanan pebiayaan oleh Kerajaan dan yang ketiga penghuni itu sendiri menunjukkan rekod bahawa mereka boleh kita pulihkan dan kembali ke dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Rumah Perantaraan Yayasan Suria Kampung Panjut Tuaran di sini hari ini.

Hadir sama Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria, Datuk Rayah Erom.

Rumah Perantaraan itu merupakan premis tempat tinggal, tempat riadah dan kelas-kelas pembelajaran sementara yang disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama NGO bagi menempatkan Orang Diparol (ODP) dan bekas banduan (Residen) yang baru dibebaskan setelah tamat menjalani hukuman di penjara.

Rumah yang disediakan lengkap dengan kemudahan asas termasuk makan dan minum kepada ODP dan bekas banduan yang baru bebas dari penjara dan tiada tempat untuk tinggal kerana tiada keluarga atau keluarga enggan untuk menerima mereka kembali atau mereka yang secara sukarela untuk tinggal di situ. Bekas banduan akan tinggal selama tidak lebih 3 bulan.

Jumlah penghuni Rumah Perantaraan Tuaran ketika ini adalah seramai lapan orang dan perancangan Jabatan Penjara Malaysia di masa hadapan menjadikan jumlah tersebut kepada 100 orang penghuni.

Terdahulu, Saifuddin turut menghadiri Program Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah.

Dalam majlis berkenaan, beliau menyerahkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti, Watikah Pelantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan dan menyempurnakan Jom Exchange Al-Quran. SABAH MEDIA / FOTO KDN

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular