HomeUtamaJabatan Bomba Sabah tubuh Pasukan Bomba Komuniti pertama perkampungan atas air di...

Jabatan Bomba Sabah tubuh Pasukan Bomba Komuniti pertama perkampungan atas air di Kg Tanjung Aru, KK

Read Time:3 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkolaborasi dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti di perkampungan atas air peringkat zon Kota Kinabalu bagi memperkasa jabatan itu mengenai kesedaran keselamatan kebakaran di negeri ini.

Seramai 35 ahli Pasukan Bomba Komuniti telah dirai dalam satu Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti dan Kempen Keselamatan Kebakaran perkampungan atas air peringkat zon Kota Kinabalu di Kampung Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.

Majlis pentauliahan disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr. Safar Untong.

Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, penubuhan Pasukan Bomba Komuniti itu adalah yang pertama ditubuhkan untuk perkampungan atas air di Sabah.

“Ini adalah yang pertama ditubuhkan untuk perkampungan atas air di Sabah, selain Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada hari ini, manakala tiga lagi kampung atas air yang dikenal pasti bakal menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti pada tahun hadapan iaitu di Tawau (Kampung Titingan ataupun Kampung Hidayah), Sandakan (Kampung Bokara) dan Kudat (Kampung Landung Ayang).

“Keempat-empat kawasan ini dikenal pasti kerap berlaku kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pentauliahan tersebut.

Menurut Abdul Razak, tujuan penubuhan pasukan tersebut adalah disebabkan Sabah terdapat banyak perkampungan atas air yang mempunyai penduduk sangat ramai selain struktur rumah kayu yang didirikan sangat rapat dan berisiko berlaku kebakaran adalah sangat tinggi.

Pasukan Bomba Komuniti sedang melakukan demonstrasi pemadaman api kebakaran di perkampungan atas air Kg Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.

“Pentingnya menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti di kawasan penempatan atas air ini adalah kerana kawasan tersebut kebiasaannya tiada pili bomba.

“Seperti yang kita sedia maklum di Sabah ini terdapat banyak perkampungan atas air yang mana berisiko berlaku kebakaran adalah sangat tinggi disebabkan rumah yang dibina agak rapat dan juga bahan binaan yang mudah terbakar biasanya daripada kayu.

“Kebiasaannya apabila berlaku kebakaran kadar kemerebakan adalah sangat tinggi kerana tiupan angin sangat kencang dan rumah berada di pesisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata, selain tujuan untuk pemadaman kebakaran, pasukan tersebut juga adalah sebagai agen penduduk lain menjadi mata dan telinga pasukan bomba untuk menyedarkan betapa pentingnya berkaitan dengan keselamatan kebakaran.

“Maksudnya mereka juga akan menjalankan kempen bagi pihak jabatan sebagai pasukan awal sebelum ketibaan pasukan bomba, mereka juga turut dilatih selama dua hari dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran kebombaan dan seterusnya kami akan kembangkan lagi modul-modul untuk Pasukan Bomba Komuniti kepada modul-modul lain berkenaan dengan kebombaan.

“Kita ada banyak lagi modul yang kita akan serapkan kepada Pasukan Bomba Komuniti ini, in shaa Allah tahun hadapan kami akan kembangkan lagi pasukan ini,” ujarnya.

Berkenaan dengan peralatan pemadaman api, Abdul Razak berkata, pihaknya telah berbincang dengan MKN dan agensi luar untuk menempatkan beberapa peralatan asas seperti pam air kecil dan gelung hos untuk kegunaan Pasukan Bomba Komuniti.

“Dari segi peralatan kami sedang bincangkan dengan pihak MKN dan juga agensi luar bagi menyalurkan peralatan asas kepada mereka seperti pam air yang kecil dan juga gelung hos. Namun pada masa ini ada sedikit kekangan dari segi peruntukan,” katanya.

Manakala mengenai jumlah keahlian, menurutnya, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 40 orang ahli dalam satu pasukan tersebut dan akan ada lebih kurang 160 orang ahli yang bertauliah pada peringkat awal termasuk keempat-empat kawasan yang dinyatakan tadi.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin akan ada pihak agensi kerajaan ataupun swasta dan syarikat-syarikat besar yang ingin membantu jabatan dalam merealisasikan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti itu di negeri ini.

“Kita yakin banyak agensi-agensi kerajaan ataupun swasta mahupun syarikat-syarikat besar yang ingin membantu jabatan dalam merelisasikan penubuhan pasukan ini.

“Hari ini kita berkolaborasi juga dengan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, mereka telah menyalurkan dana yang begitu besar untuk kita menubuhkan pasukan ini dan juga beberapa syarikat di luar sana yang turut menyumbangkan bakul makanan untuk kegunaan penduduk kampung setempat.

“Saya bagi pihak jabatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung,” tambah beliau.

Pada majlis sama, turut diadakan Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi Pemadaman Api Kebakaran oleh Pasukan Bomba Komuniti yang baharu ditubuhkan.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular