Kota Kinabalu : Pencapaian Sabah FC yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN adalah atas disiplin dan peningkatan prestasi para pemain yang membolehkan pasukan kendaliannya layak lebih awal.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, meskipun layak lebih awal, skuad Badak mengambil sikap merendah diri walaupun peminat bola sepak melihat Sabah sebagai pasukan pilihan.
“Saya tak boleh kata kita adalah pasukan pilihan kerana sebelum bermulanya peringkat kumpulan, kita tahu Haiphong FC, PSM Makassar dan Hougang United FC juga adalah pasukan yang cukup baik.
“Namun, dengan tahap disiplin serta prestasi yang semakin meningkat terutama pada hujung musim oleh Sabah FC, membolehkan kita layak terlebih dahulu dan ini beri impak yang cukup positif.
“Tapi, untuk pusingan seterusnya sudah tentu kita harus lebih bersiap sedia dan yang penting kita harus pastikan perancangan dan latihan kita selepas berakhir musim ini yang mungkin akan melibatkan ‘pre session’ dan ‘all session’ di mana kita tak tahu dengan siapa kita akan bertemu pada separuh akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini, hari ini, sempena perlawanan akhir Kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar di Stadium Likas, malam esok.
Kim Swee berkata demikian bagi mengulas kedudukan Sabah FC yang dianggap sebagai pasukan pilihan berikutan kejayaan awalnya menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN selepas menewaskan Hougang United FC 4-1 di Singapura pada 30 November lalu.
Sementara itu, Kim Swee berkata, pasukannya tetap tidak mengambil mudah kehadiran pemain PSM Makassar pada perlawanan esok meskipun sudah layak ke separuh akhir Piala AFC.
Beliau sebaliknya menekankan kepada anak buahnya supaya mengekalkan momentum prestasi mereka dalam perlawanan sebelum ini untuk berdepan lawan di gelanggang sendiri.
“Ini adalah perlawanan yang terakhir dan penting untuk kita mengekalkan momentum kita seperti kita lakukan dengan Hougang United sebelum ini, lebih-lebih lagi kita ada perlawanan penting Ahad nanti dalam saingan Liga Super,” katanya.