KOTA KINABALU: Memorandum Kerjasama diantara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidarati Tanah Airku (STAR) dijangka akan ditandatangani kedua-dua presiden parti itu sebelum Tahun Baru Cina ini.
Perkara ini dirumuskan dalam Jawatankuasa Khas yang dipertanggubgjawabkan untuk merangka skop kerjasama diantara PBS dan STAR yang telah mengadakan mesyuarat pertamanya di sini, hari ini.
Setiausaha Agung STAR Datuk Edward Linggu dan Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki dalam keyataan bersamanya hari ini berkata, perbincangan tertumpu kepada merumuskan butiran kerjasama bagaimana kedua parti boleh menyumbang kepada matlamat memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Bagaimanapun, katanya, memorandum kerjasama itu akan diperhalusi pucuk kepimpinan dua parti itu sebelum ditandatangani.
Menurutnya, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili akan menurunkan tandatangan bagi mengesahkan memorandum kerjasama itu.
Meskipun tempoh Kerajaan Negeri sekarang berakhir Oktober 2025, namun jalinan persefahaman antara dua parti itu perlu diperkukuh kerana terdapat tanda-tanda PRN17 diawalkan ke tahun 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya pemberita (13 Nov) membayangkan kemungkinan PRN17 diadakan seawal 2024 meskipun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun.
Dalam pertemuan hari ini, STAR diwakili Linggu, Datuk Flovea Ng (Wanita), Datuk Jalumin Bayogoh (Penerangan), Kong Soon Choi (Pemuda) dan Anuar Ghani.
Manakala PBS diwakili Julita, Datuk Joniston Bangkuai (Penerangan), Christopher Mandut (Pemuda), Datin Malianah Ugau (Wanita) dan Arthur Sen (naib presiden).