KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, menyumbang sebuah kerusi roda kepada seorang atlet paralimpik negeri Sabah dalam sukan pingpong, Muhamad Lizan Mat Sittim, di Rumah Yayasan Sabah, di sini pada Isnin.
Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berharap sumbangan kerusi roda itu akan menyemarakkan lagi semangat Muhamad Lizan untuk terus aktif dalam sukan pingpong sekali gus terus mewakili negeri ini.
“Semoga dengan pemberian kerusi roda ini iaitu jenis Moov 2.0 Lightweight yang sesuai digunakan untuk sukan akan meningkatkan lagi semangat beliau sekali gus mengharumkan nama negeri ini dalam sukan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga berharap semangat yang dimiliki Muhamad Lizan akan menjadi pendorong kepada atlet paralimpik lain di Sabah untuk bersama mengharumkan nama negeri ini,” katanya pada majlis penyerahan kerusi roda itu.
Sementara itu, Muhamad Lizan, 28, yang berasal dari Beaufort dan juga seorang orang kurang upaya (OKU) melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan kerusi roda yang amat sesuai digunakannya untuk sukan terutama pingpong.
“Alhamdulillah dan saya merakamkan terima kasih kepada isteri ketua menteri atas sumbangan kerusi roda ini. Kerusi roda jenis ini amat sesuai untuk sukan dan tahan lama, mungkin empat hingga lima tahun,” katanya yang juga kakitangan tetap sebagai Pembantu operasi di KLPOKU.
Beliau yang juga anak keenam daripada sembilan beradik, menjadi pelatih dalam bidang
operasi sistem komputer di KLPOKU, di Kimanis Papar pada tahun 2013 selepas terbabit dalam kemalangan pada tahun 2012.
Dia yang aktif dalam sukan pingpong turut mewakili Sabah dalam Paralimpiad Perlis
pada 2014 pingat perak bergu kelas atau kategori 4-5; pingat perak team (berkumpulan) kelas 4-5 dan Paralimpiad Sarawak (2016) yang turut memenangi pingat perak bergu kelas-3 dan team kelas-3 serta gangsa untuk acara perseorangan kelas-3.
Beliau juga pernah mewakili negara dalam sukan pingpong di Sukan Para ASEAN 2017
di Kuala Lumpur acara perseorangan dan bergu kelas-3 suku akhir dan Para Sukma Perak 2018 pingat emas bergu dan team kelas-3 serta pingat perak perseorangan kelas-3 dan kelas 1-5.
Sementara itu, bagi pihak KLPOKU, Dayangku Suhaila turut merakamkan terima kasih kepada isteri ketua menteri atas sumbangan sebuah kerusi roda kepada atlet paralimpik di kompleks itu.
Turut hadir ialah Penguasa Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya (KLPOKU) Kimanis, Papar, Dayangku Suhaila Pg Suhaimi; Pembantu Tadbir KLPOKU Rafidah Dahali dan Jurulatih KLPOKU, Safwanizam Suhaibul.