HomeUtamaPengurusan teknikal UMS pantau tekanan air, timbalan menteri terima taklimat esok

Pengurusan teknikal UMS pantau tekanan air, timbalan menteri terima taklimat esok

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Satu taklimat berhubung projek penggalian telaga tiub yang dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan peruntukan yang dibiayai sebanyak RM3juta akan diadakan esok.

Taklimat kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud itu dijadualkan akan diadakan di Bilik Pustaka Mini, Kolej Kediaman Tun Pangiran Ahmad Raffae pada jam 8.45 pagi.

Difahamkan, projek itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu bagi membantu UMS menangani masalah kekurangan bekalan air di kampusnya.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri meminta penjelasan berhubung peruntukan itu selepas membaca mengenai tindakan pelajar UMS menyambut kedatangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan mengadakan demonstrasi berhubung isu air pada Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan bekerjasama dengan bahagian pengurusan teknikal UMS bagi mengawal tekanan air yang disalurkan di kampus universiti itu, di sini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata langkah itu bagi memastikan air yang disalurkan pihak JANS tidak mengalami gangguan apabila sampai ke kampus UMS.

“Kita bekerjasama dengan bahagian pengurusan teknikal UMS untuk mereka mengawal tekanan air dalam kampus kerana kampus UMS bukan kecil, kawasannya besar dan mempunyai permukaan yang berbukit,” katanya ditemui selepas melancarkan aplikasi MyJANS, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas langkah jangka pendek yang dilaksanakan JANS bagi membantu mengurangkan bebanan pelajar UMS yang ketika ini berdepan kekurangan bekalan air.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata pada masa yang sama penghantaran air menggunakan lori tangki juga dilaksanakan sehingga bekalan di universiti itu menjadi stabil.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa bekalan air yang masuk ke tangki UMS sepatutnya menjadi stabil dengan beroperasinya LRA Telibong 2 Fasa 2 (T2P2) mulai bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak berlaku memandangkan masih ada kerja perpaipan yang perlu disiapkan sebelum kapasiti tambahan sebanyak 40 juta liter sehari (MLD) dapat disalurkan sepenuhnya.

“Apabila kerja-kerja perpaipan sedikit di Telibong dapat kita selesaikan sebelum hujung bulan ini, maka nanti jumlah air yang secara matematikalnya boleh masuk bertambah di UMS,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

China kekal sebagai rakan perniagaan penting Sabah

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular