KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyasarkan untuk menjadi agensi Kerajaan Negeri paling disukai pada masa akan datang.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata ini memerlukan perkhidmatan yang diberikan oleh DBKK pada tahap memuaskan hati pelanggannya.
“Salah satu Inisiatif untuk mencapai hasrat ini adalah menanam kalangan Pegawai dan staf DBKK sense of urgency’ (sikap yang memerlukan tindakan segera) memastikan perkhidmatan pada tahap tinggi, cekap dan telus,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dengan Media di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBKK Junaina Abbe, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntan Vanar, beberapa pengarang dan wartawan media massa dan elektronik serta ketua-ketua pengarah DBKK.
Dalam pada itu, Sabin berharap hubungan baik antara DBKK dengan media akan terus harmoni dengan kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu dengan yang lain.
“Saya sendiri perlu input dari media untuk membolehkan saya dan DBKK dapat meningkatkan lagi tahap kecekapan dan juga khidmat baik kepada warga Kota Kinabalu.
“Saya amat yakin dengan pasukan dan komitmen pegawai dan staf DBKK ini dapat dicapai,” katanya.