HomeSukanAhli gabungan SAFA, akademik bola sepak disaran jalin kolaborasi bersama sekolah

Ahli gabungan SAFA, akademik bola sepak disaran jalin kolaborasi bersama sekolah

Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Ahli Gabungan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Akademi Bola Sepak di negeri ini disaran untuk menjalin kolaborasi dengan sekolah-sekolah khususnya yang mempunyai kemudahan padang yang baik.

Naib Presiden SAFA, Datuk Alijus Sipil berkata, ini adalah bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan bola sepak di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Katanya, kebanyakan sekolah dilengkapi kemudahan padang yang boleh dimanfaatkan menerusi kolaborasi dengan pihak sekolah yang terbabit.

“Apa yang boleh dilakukan ialah cuba mengadakan kolaborasi dengan sekolah yang ada kemudahan padang yang baik.

“Jadi perlu ada persefahaman dengan pihak sekolah. Ini kerana padang sangat penting untuk program latihan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Kepada Ahli Gabungan SAFA dan Akademi Bola Sepak Sabah, di sini, bagi mewakili Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 20 Ahli Gabungan SAFA dan 31 Akademi Bola Sepak menerima peralatan untuk program latihan bola sepak.

Sementara itu, dalam ucapan Shahelmey yang dibacakan Alijus, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau sependapat bahawa usaha untuk melahirkan pemain pelapis berbakat perlu bermula di peringkat akar umbi.

“Langkah itu penting kerana ia akan menjadi penyumbang utama serta teras kepada pembangunan sukan bola sepak bermula di setiap daerah hingga kepada peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya percaya usaha yang dilakukan pada hari ini akan mampu memainkan peranan ke arah melahirkan pemain berbakat, khususnya di Negeri Sabah,” katanya.

Shahelmey berkata, penubuhan akademi adalah satu perkembangan yang positif yang beliau percaya ramai ibu bapa teruja untuk menghantar anak masing-masing agar dapat menimba ilmu bola sepak. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sentiasa cakna terhadap pembangunan belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular