HomePolitik40 peratus hasil Sabah : BBC GRS-PH Sabah sokong penuh keputusan negeri

40 peratus hasil Sabah : BBC GRS-PH Sabah sokong penuh keputusan negeri

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu : Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Sabah senada dan menyokong penuh keputusan Kerajan negeri untuk terus membuat tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan tidak akan melepaskan hak asasi perlembagaan negeri.

Pengerusi BBC GRS-PH Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata, dakwaan pihak tertentu mengatakan Kerajaan Negeri tidak memperjuangkan tuntutan 40 peratus adalah tidak berasas sama sekali dan telah dijadikan modal politik oleh pihak tertentu.

“Kerajaan Negeri berada di landasan yang tepat dalam memperjuangkan tuntutan ini daripada Kerajaan Persekutuan dengan mengadakan beberapa siri rundingan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Hasilnya, Kerajaan Persekutuan terus mengambil perhatian perkara ini antaranya pemberian interim kepada Kerajaan Negeri dinaikkan kepada RM300 juta pada tahun lalu berbanding hanya RM125.6 juta pada tahun 2022.

“Kerajaan Negeri juga tidak berhenti dengan amanah yang diberikan dalam tuntutan 40 peratus pemberian khas hasil bersih dibawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, BBC GRS-PH Sabah yakin, Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ini.

Katanya, pada masa sama turut menghormati tindakan pihak lain termasuk Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memperjuangkan tuntutan 40 peratus menerusi prosiding undang-undang atau siapa sahaja yang mempunyai tujuan yang sama seperti pendirian kerajaan GRS.

“Dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak tanpa mengira fahaman politik dalam tuntutan ini, kami yakin akan ada lagi perkembangan positif tuntutan 40 peratus Pemberian Khas Hasil Bersih dibawah Perlembagaan Persekutuan ini.

“BBC GRS-PH Sabah selaku wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat akan sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk terus memperjuangkan tuntutan 40 peratus pemberian khas hasil bersih daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yusof berkata, BBC GRS-PH Sabah berpendirian dan meminta Kerajaan Negeri untuk terus melakukan tuntutan 40 peratus ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pihaknya turut yakin dengan kemampuan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor untuk melaksanakan tugas ini.

“Usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat harus dibenteras. Kita adalah dibelakang kepimpinan Kerajaan Negeri mempertahankan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub dalam MA63.

“Justeru itu, BBC GRS-PH Sabah meminta Kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian dan menunaikan tuntutan ini dan pada masa sama merapatkan lagi hubungan sedia terjalin antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dr Maria dilantik Pengarah JKNS baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular