HomeUtamaKumpulan pertama 134 jemaah haji Sabah berlepas ke Tanah Suci

Kumpulan pertama 134 jemaah haji Sabah berlepas ke Tanah Suci

Read Time:2 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu : Kumpulan pertama bakal jemaah haji daripada Sabah iaitu seramai 134 orang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 11.05 malam ini.

Kumpulan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1.40 pagi pada Sabtu dan dijadualkan bertolak ke tanah suci dengan penerbangan sewa khas haji pada hari sama.

Hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan bakal haji itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Majlis pelepasan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato Setia Dr Mohd Naim Mokhtar.

Tun Juhar dalam ucapannya menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak Tabung Haji (TH).

“Umat Islam di negeri Sabah harus bersyukur, kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji, dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci.

“Para jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH,” katanya.

Sementara itu, Mohd Naim ketika berucap berkata, penerbangan bakal-bakal haji Sabah merupakan penerbangan ke-77 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji.

Katanya, penerbangan yang disediakan itu adalah bagi membawa seramai 31,600 orang bakal haji Malaysia bagi musim Haji 1445H/2024M.

Tambahnya, seramai lebih 22,800 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Beliau turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci memandangkan pelaksanaan ibadat ini memerlukan minda dan fizikal, di samping undang- undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya ingin menasihati agar jemaah negara mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi mahupun peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh TH kerana semua ini bertujuan menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji,” katanya.

Penerbangan bakal haji dari Sabah ini akan bergabung dengan bakal haji dari Pulau Pinang seramai 142 orang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 276 orang.

Mereka akan berlepas daripada KLIA menaiki pesawat MH8152 yang dijadualkan pada 1 Jun 2024 jam 4.45 pagi dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.40 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

156 pelajar layak terima WPP, persediaan awal ke IPT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular