Kundasang : Taman-Taman Sabah (TTS) mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memperkukuhkan lagi tahap keselamatan khususnya melibatkan pendakian Gunung Kinabalu.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Peter Lintar berkata, ia termasuklah pembinaan dua laluan pendakian iaitu menerusi denai Kota Belud dan denai Ranau.
“Sejak sembilan tahun yang lalu, pengurusan TTS telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan tahap keselamatan pendaki Gunung Kinabalu ditahap terbaik.
“Ini termasuklah menubuhkan Pasukan Penyelamat Aras Tinggi Gunung Kinabalu yang terdiri daripada MOSAR, TTS dan Malim Gunung.
“Selain itu, kita turut memperkukuhkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) Penyelamatan Gunung Kinabalu melalui empat Simulasi Penyelamatan Gunung serta pemasangan peralatan pengesan Gegaran Gempa di Gunung Kinabalu dan sekitar Taman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis upacara memperingati tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu di Kiau Gap View Taman Kinabalu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Abdul Razak Jamil.
Hadir sama Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim.
Terdahulu, pada 5 Jun 2015, satu Gempa Bumi dengan kekuatan 6.0 magnitude berlaku di Gunung Kinabalu mengakibatkan seramai 137 orang pendaki terperangkap di Kilometer 6.8 dan 18 orang pendaki meninggal dunia.
Ia termasuklah empat orang Malim Gunung yang sedang bertugas di laluan pendakian ke Puncak iaitu Joseph Solungin,33,Ricky Masirin,28,Valerian Joannes,28, dan Robble Sapinggi,31.
Peter berkata, langkah-langkah yang diambil itu menunjukkan kerajaan Sabah khususnya TTS amat menghargai sumbangan dan pengorbanan mangsa semasa bertugas mahupun pendaki yang terkorban pada masa tersebut.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta TTS, saya mengucapkan salam takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.
“Mereka telah hilang dari pandangan kita, tetapi tidak pernah hilang di dalam ingatan dan hati kita semua dan hari ini genap sembilan tahun tragedi gempa Gunung Kinabalu kita masih kekal memperingati kejadian tersebut,” katanya.
Seramai 556 orang anggota pelbagai agensi penyelamat terlibat di dalam Operasi Mencari dan Penyelamatan (SAR) selama lima hari bermula 05 hingga 10 Jun 2015. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK