HomeUtamaPositif COVID-19, Pengalaman Tidak Dapat Dilupakan

Positif COVID-19, Pengalaman Tidak Dapat Dilupakan

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Meskipun hanya dikategorikan sebagai pesakit COVID-19 berisiko rendah, namun ia menjadi satu pengalaman pahit dan ujian buat Asroy Nizam Saidi,25.

Dia yang bertugas  di Balai Bomba dan Penyelamat Lintas disini mengakui sedih dan hilang semangat apabila disahkan positif COVID-19 selepas beberapa hari membuat ujian calitan penghujung November tahun lalu.

Ketika menceritakan kembali pengalamannya, Asroy berkata, dia disahkan dijangkiti COVID-19 pada 28 November tahun lalu selepas membuat ujian calitan tiga hari sebelum itu.

“Saya mula mengalami gejala ringan seperti hilang deria rasa, sakit kepala, pening dan lemas badan sebelum mengambil keputusan melakukan ujian calitan pada 25 November 2020.

“Sebaik disahkan positif, saya diminta untuk kuarantin dirumah sebelum dihantar ke pusat kuarantin di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sepanggar untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada Sabah Media disini baru-baru ini.

Selain kesakitan ketika diserang COVID-19 yang tidak dapat dilupakan, Asroy berkata, pengalaman yang diperolehnya ketika menerima rawatan bersama pesakit yang lain juga menjadi memori tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

“Apabila disahkan positif, memang takut sebab kita tahu ia boleh membawa maut namun rasa takut itu hilang kerana suasana di sana jauh berbeza dan saya dikelilingi dengan aura positif.

“Kami saling memberi sokongan dan kehidupan lebih teratur.  Petugas kesihatan dan keselamatan juga sangat membantu sehingga rasa sedih yang bersarang di hati hilang,” katanya.

Asroy berkata, selain penjagaan kebersihan diri, pengambilan vaksin COVID-19 juga turut membantu menguatkan imunisasi badan bagi melawan virus itu.

“Ketika saya dijangkiti virus ini, vaksin pada masa itu belum ada lagi dan saya hanya dapat pada April lalu iaitu pada 16 April 2021 bagi dos pertama dan 7 Mei lalu bagi dos kedua.

“Bagi yang belum lagi mendapatkan vaksin, segeralah berbuat demikian bagi melindungi masyarakat setempat termasuk keluarga kita sendiri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular