HomeUtamaSESB bertungkus lumus pulihkan Stesen Hidro Pangi

SESB bertungkus lumus pulihkan Stesen Hidro Pangi

Read Time:2 Minute, 46 Second

TENOM: Anggota kerja Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan bantuan beberapa kontraktor yang dilantik bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan kerosakan untuk memastikan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) dapat beroperasi semula.

Menempuhi jarak sejauh lapan kilometer pergi dan balik berulang kali ke dalam terowong untuk membersihkan lumpur, kayu dan batu bukanlah kerja yang mudah untuk dilaksanakan. Demikianlah situasi yang perlu dihadapi oleh anggota kerja berkenaan.

Pengurus Besar Penjanaan SESB, Ir. Addie Ahmad berkata kerja-kerja pembersihan dan pemulihan kerosakan yang berlaku di SJHTP berikutan banjir lumpur yang melanda stesen itu pada penghujung tahun 2022 masih berjalan.

Kerja-kerja pembersihan terowong dan pemulihan kerosakan di Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi.

“Kerja-kerja pembersihan terowong air hidro juga giat dilakukan oleh satu kontraktor yang dilantik. Kerja-kerja pembersihan semula bukan lah mudah kerana melibatkan pembersihan lumpur, batu-batu besar dan longgokan kayu yang hanyut ketika kejadian banjir lumpur berlaku. Sementara itu, satu lagi kontraktor lain dilantik untuk membaikpulih ketiga-tiga tarbin hidro.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Addie, sehingga kini pembaikan SJHTP giat dilaksanakan dengan tarikh sasaran penyiapan pada asalnya adalah pada Mac 2024 untuk turbin pertama, Jun 2024 untuk turbin kedua dan September 2024 untuk turbin ketiga.

“Mengikut perhitungan asal, stesen ini dijadualkan beroperasi semula Mac 2024. Namun rintangan demi rintangan dan pelbagai cabaran dihadapi oleh SESB ketika melaksanakan kerja-kerja pemulihan semula stesen hidro ini.

“Sasaran baru yang diletakkan untuk menjana unit hidro yang pertama adalah pada pertengahan Julai 2024. Pembersihan terowong dijangka siap pada hujung Jun 2024, dan diikuti dengan wet commissioning dengan menyalurkan air sungai masuk ke dalam terowong dan memula-putar tarbin.

“Kini SESB dalam proses untuk melaksanakan permanent slope protection di kawasan kritikal sepanjang jalan masuk ke stesen. Usaha ini adalah untuk memastikan kejadian runtuhan tanah dapat dimitigasikan pada masa akan datang,” jelasnya.

Addie berkata, lima pasukan sedang bertungkus-lumus menempuh jarak lapan kilometer keseluruhan untuk pergi dan balik berulang kali di dalam terowong bagi membersihkan lumpur dan kayu yang masih terdapat di bahagian power house dan surge tank.

“Pihak SESB bersama kontraktor juga telah menggunakan kaedah yang tidak melibatkan sebarang aktiviti peletupan untuk tujuan penghancuran batu-batu besar bagi memudahkan proses pengalihannya,” katanya.

Tambah beliau, Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi merupakan satu stesen yang terletak di daerah ini dan dikendalikan sepenuhnya oleh SESB. Sungai Padas menjadi sumber air, di mana, kederasan arus sungai tersebut mampu memutar tarbin dan seterusnya menjana tenaga elektrik.

“Stesen ini memiliki tiga turbin dengan keupayaan 22MW setiap turbin yang membekalkan tenaga elektrik kepada Grid Sabah sebanyak 66 MW.

“Pada malam 31 Oktober 2022, kerosakan besar telah berlaku ke atas struktur sivil dan loji penjanaan stesen ini akibat tanah runtuh dan banjir lumpur.

“Kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga turbin rosak dan tidak berfungsi.Berikutan daripada bencana alam tersebut, SESB kehilangan kapasiti penjanaan sebanyak 66MW daripada SJ Hidro Tenom Pangi,” katanya.

Menurutnya, kos pembaikan setakat ini telah mencecah jumlah sebanyak RM60 juta dan stesen ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung November 2024.

“SESB juga ingin mengambil peluang yang ada untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung terhadap usaha pembaikan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi ini.

“Komitmen serta usaha yang bertungkus lumus membantu untuk memastikan stesen hidro ini dapat beroperasi semula amat SESB hargai dan sekali lagi diucapkan ribuan terima kasih,” ujar Addie lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

156 pelajar layak terima WPP, persediaan awal ke IPT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular