HomeUtamaJambatan konkrit Sungai Moyog Mukim Babagon dijangka siap 24 bulan

Jambatan konkrit Sungai Moyog Mukim Babagon dijangka siap 24 bulan

Read Time:1 Minute, 36 Second

Penampang: Penantian lebih 5,000 penduduk kampung Mukim Babagon untuk menikmati kemudahan jambatan konkrit yang lebih selesa kini berakhir.

Penaiktarafan Jambatan Sungai Moyog bernilai RM16.8 juta itu yang akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Skop kerja itu melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 90 meter melibatkan jambatan konkrit dan jalan raya.

Upacara pecah tanah untuk projek menaiktaraf Jambatan Sungai Moyog, Stesen Perikanan Babagon, Kg.Timpangoh-Kg.Lotong itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, semalam.

Ketika ditemui pemberita, Ewon berharap, projek pembinaan jambatan itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan untuk manfaat penduduk kampung.

“Jambatan ini merupakan satu kemudahan yang sudah lama diimpi-impikan oleh ribuan penduduk Mukim Babagon sejak sekian lamanya untuk mereka memasarkan hasil-hasil pertanian.

“Sebelum ini hanya satu laluan keluar penduduk kampung iaitu Low level crossing di Babagon, tetapi ia sukar dilalui apabila hujan lebat atau banjir kerana air sungai deras.

“Pada hari ini, apabila siapnya jambatan ini nanti dalam tempoh dua tahun, ia akan menjadi laluan utama masyarakat kampung.

“Ini merupakan satu sumbangan kerajaan kepada rakyat dan saya berharap kemudahan ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk kampung terutamanya berkaitan pencarian pendapatan ekonomi masyarakat, pendidikan dan juga pekerjaan,” katanya.

Ewon berkata, selain itu, kementeriannya juga telah menyalurkan peruntukan berskala kecil untuk menaiktaraf Tamu Babagon dengan kos RM300,000 dan juga pembinaan sebuah bangunan Sunday School untuk gereja di kawasan itu melibatkan kos RM200,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen Penampang.

Beliau berkata, di samping projek-projek pembangunan berskala kecil dan besar, beliau juga telah membangunkan Pelan Pembangunan Penampang yang mencakupi semua isu, cabaran serta keperluan dan cadangan pembangunan daerah Penampang termasuk yang berskala besar.

“Ini akan menjadi tanggungjawab saya untuk mendapatkan komitmen daripada menteri-menteri dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya Pelan Pembangunan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

156 pelajar layak terima WPP, persediaan awal ke IPT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular