HomeUtamaKPDN Sandakan tidak kompromi dengan pihak cuba ganggu, manipulasi harga telur ayam

KPDN Sandakan tidak kompromi dengan pihak cuba ganggu, manipulasi harga telur ayam

Read Time:2 Minute, 15 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu bekalan serta memanipulasi harga telur ayam yang dikawal khususnya di daerah ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, para peniaga juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan penurunan harga runcit telur ayam bagi gred A,B dan C selaras dengan pengumuman Kerajaan pada 17 Jun lalu.

Selain itu katanya, peniaga juga diminta untuk tidak menjual barangan melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan selain meletakkan tanda harga berwarna merah jambu yang bertujuan bagi membezakan dengan barangan lain.

“KPDN Sandakan terus mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan bekalan dan harga telur ayam di peringkat pemborong dan peruncit di daerah ini berikutan penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara sebanyak tiga sen sebiji yang mula berkuat kuasa pada 17 Jun lalu.

“Sejak penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C itu, KPDN Sandakan telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa pembekal utama telur ayam di daerah ini dan juga di pasar raya tumpuan utama pengguna.

“Pemeriksaan di tiga pembekal utama telur ayam gred A, B dan C mendapati ketiga-tiga pembekal  ini membuat penghantaran bekalan telur ayam gred A, B dan C pada setiap hari kecuali hari Ahad ke pasar raya- pasar raya tumpuan utama pengguna di daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Azdy berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, jumlah keseluruhan stok semasa telur ayam gred A, B dan C di tiga pembekal utama daerah Sandakan adalah sebanyak 63,750 biji.

“Manakala jumlah keseluruhan telur ayam gred A, B dan C yang telah dihantar dari tiga pembekal utama telur ayam ke pasar raya-pasar raya tumpuan utama pengguna di sekitar daerah Sandakan adalah sebanyak 54,000 biji atau 84.71 peratus.

“Baki telur ayam gred A, B dan C iaitu sebanyak 9,750 biji atau 15.29 peratus lagi sedang dalam proses penghantaran ke premis-premis perniagaan di sekitar daerah ini. Maklumat ini menunjukkan bahawa bekalan telur ayam di daerah Sandakan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, sejak 1 Januari lalu hingga kini, KPDN Sandakan juga tidak menerima sebarang aduan rasmi berkenaan dengan bekalan telur ayam khasnya gred A, B dan C di daerah ini.

Katanya, para pengguna khususnya di daerah Sandakan boleh menghubungi pejabat KPDN Cawangan Sandakan di talian 089-668107 sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan bekalan telur ayam gred A, B dan C di daerah ini.

“Pengguna juga disarankan agar membuat aduan mengenai salah laku peniaga menerusi saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KPDN,” katanya. – SABAH MEDIA / KPDN Sandakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular