HomeUtamaILTP main peranan bangun modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi di Sabah

ILTP main peranan bangun modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi di Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) dibawah kendalian Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi khususnya di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ILTP juga sentiasa meneruskan usaha dalam melahirkan modal insan yang kompetitif dan mapan dalam pelbagai bidang.

Katanya, tenaga pengajar juga merupakan tunjang utama dan memainkan peranan penting dalam membekalkan pendidikan kemahiran yang inklusif kepada para pelatih ke arah pembangunan masyarakat dan ekonomi negeri Sabah.

”Dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 ini, keperluan terhadap tenaga kerja yang cekap dan berkualiti semakin mendesak.

”Oleh itu, pengiktirafan yang diberikan kepada graduan hari ini adalah bukti keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvokesyen Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Arifin berkata, selaras dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong dan mendokong segala usaha yang dilaksanakan oleh JPSM dalam melahirkan modal insan yang terampil, kompeten, dan berdaya saing apabila menceburi bidang pekerjaan.

Katanya, Kerajaan juga akan sentiasa komited dalam memperkukuhkan sistem pendidikan TVET di negara ini.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi TVET.

“Ini termasuklah menyediakan kemudahan-kemudahan yang canggih, meningkatkan latihan untuk tenaga pengajar, dan memperluaskan peluang pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, bidang kemahiran dilihat sangat penting pada masa ini dan Kerajaan terus memberi tumpuan kepada bidang TVET.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kolaborasi dengan JPSM termasuklah PETRONAS dan rakan-rakan lain yang telah memberikan kerjasama yang baik termasuk UniKL.

“Ini adalah antara yang diharapkan oleh Ketua Menteri kita agar kita menjurus kepada bidang yang boleh membantu anak-anak kita dalam bidang pekerjaan.

“Lebih-lebih lagi kita memberikan tumpuan untuk usaha membasmi kemiskinan tegar dan keutamaan ada peserta dalam kalangan golongan B40,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular