HomeUtamaKPDN Sandakan sita lebih 1,000 kg produk tidak halal disimpan bersama produk...

KPDN Sandakan sita lebih 1,000 kg produk tidak halal disimpan bersama produk halal

Read Time:1 Minute, 20 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan menyerbu sebuah pasar raya di sini selepas disyaki menyimpan produk tidak halal yang bercampur dengan produk halal.

Operasi bersepadu kira-kira jam 10.50 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dari KPDN cawangan Sandakan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DOVS) Sandakan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, hasil pemeriksaan mendapati bilik sejuk pasar raya terbabit menyimpan produk halal yang bercampur dengan produk tidak halal.

Katanya, antara produk bercampur terdiri daripada nugget ayam, keju, mentega, buah-buahan dan daging babi. 

“Sebanyak 1,016.88 kilogram produk sejuk beku yang terdiri daripada nugget ayam, keju, mentega, buah-buahan dan daging babi telah disita dengan nilai rampasan keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM10,686.80. 

“Tindakan kes ini adalah hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DOVS) Cawangan Sandakan. Kes ini akan disiasat selanjutnya di bawah Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. 

“Jika sabit kesalahan di bawah undang-undang ini, suatu pertubuhan perbadanan (Syarikat) boleh didenda tidak melebihi RM 5,000,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM 10,000,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, KPDN Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis yang menjual produk sejuk beku di daerah ini.

Katanya, ia adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh peniaga khasnya di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

“Pengguna adalah dialu-alukan untuk membuat aduan mengenai salah laku peniaga menerusi saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KPDN ,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN Sandakan

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular