HomeUtama'Abang jangan risau, abang sudah selamat' - isteri

‘Abang jangan risau, abang sudah selamat’ – isteri

Read Time:2 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : “Kejutan itu agak besar, tetapi bila saya melihat perkara itu depan mata, pertama yang ada pada saya ialah, saya adalah ‘Duyufurrahman’, saya tetamu Allah, saya akan hadapi dugaan kecil atau sebesar gunung, saya kena hadapi sebab itu dari Allah,” luahan sayu Datin Nik Zaitun Nik Mohamed,62.

Nik Zaitun adalah isteri kepada Datuk Raksan @ Hassan Matasil,74, yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji 1445H/2024M baru-baru ini.

Arifin sempat bertanyakan khabar dan menyantuni Nik Zaitun sebaik tiba di KKIA semalam

Katanya, suaminya dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di khemah yang disediakan semasa berada di Mina bagi melaksanakan ibadah melontar.

Suaminya sebelum itu sempat berjumpa doktor perubatan sebaik selesai melakukan ibadah melontar di Mina selepas mengadu rasa sakit dikepala berikutan cuaca yang melebihi 50 darjah celcius.

“Arwah tidak sempat masuk hospital tetapi masa kejadian arwah ada berjumpa Doktor selepas balik melontar kerana mengadu sangat panas hingga naik ke kepala.  Ini dimaklumkan Doktor kepada saya.

Datin Nik Zaitun Nik Mohamed

“Doktor telah menasihatkan arwah untuk balik ke khemah berehat dan beliau balik ke khemah dan tidur, dia tidur sehinggalah dia ‘habis’.  Jadi apabila sekitar jam 5, kawan-kawan mendapati keadaan arwah luar biasa, tidur lama dan kaki sudah biru.

“Doktor mengatakan jantung sudah berhenti dan saya dipanggil dan saya boleh bercakap untuk kali terakhir sebab arwah masih boleh mendengar walaupun jantung sudah berhenti.  Kata akhir saya, saya mohon maaf dan saya mengatakan ‘abang insyaAllah jangan risau, abang sudah selamat, InsyaAllah’ dan dia pun menutup mata dengan rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bersama 128 jemaah haji Sabah dari ibu negeri di sini semalam.

Ketibaan kumpulan kedua jemaah haji itu disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ; Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar; Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Tabung Haji (TH) Datuk Nurlaila Said dan Pengarah TH Negeri Sabah merangkap Pengarah Operasi Stesen Berlepas Kota Kinabalu Musim Haji 1445H/2024M Yusdi Nasip.

Ketika ditanya bagaimana beliau menerima kekuatan bagi meneruskan ibadah haji tanpa suaminya, Nik Zaitun berkata, beliau terus  meminta kekuatan agar dapat dipermudahkan urusan haji tanpa suami disisi.

“MasyaAllah, agak berat sangat sebab kejutan itu agak besar tetapi bila saya melihat perkara itu depan mata, pertama yang ada pada saya ialah, saya adalah ‘Duyufurrahman’, saya tetamu Allah, saya akan hadapi dugaan kecil atau sebesar gunung, saya kena hadapi sebab itu dari Allah.

“Saya sebagai jemputan tetamu Allah, jadi alhamdulillah saya minta pada Allah, ya Allah berikan aku kekuatan ya Allah. Alhamdulillah saya diberikan kekuatan.  Tapi saya bersyukur arwah terpilih ‘habis’ disana untuk diambil disana, saya bersyukur pada Allah kerana diberi penghormatan sedemikian kepada arwah suami saya,” katanya.

Suaminya adalah antara 14 jemaah haji negara yang dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci baru-baru ini.

Difahamkan, suaminya juga sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Memahami Bidang Kuasa TYT Sabah & Mengapa Tun Musa Aman Dilantik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular