Kota Kinabalu : Perkhidmatan penyediaan wasiat dan hibah perlu terus diperhebatkan lagi melalui pengurusan dan tadbir urus yang lebih sistematik dan berkesan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia juga perlu berlandaskan lunas undang-undang Islam dan Undang-Undang yang berkaitan.
“Saya melihat Manual Pengurusan Hibah adalah penting supaya dapat diterbitkan oleh pihak Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) seperti manual- manual pengurusan yang lain.
“Dengan wujudnya manual pengurusan hibah ini, diharap akan menjadi pencetus kepada wujudnya Enakmen atau Ordinan Hibah setiap negeri di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena mesyuarat pengukuhan sumber am bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) 2024 di sini semalam.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.
Arifin berkata, pihaknya yakin bahawa dengan pengurusan harta pusaka orang Islam yang lebih teratur bukan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kalangan ahli keluarga malah mampu memberi manfaat kepada Sumber Am Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Institusi Baitulmal.
“Usaha untuk memperluaskan lagi ilmu pengetahuan mengenai perancangan harta pusaka kepada masyarakat kita, perlu diperkasakan.
“Ini kerana mutakhir ini, kita melihat kurangnya kesedaran tentang peri pentingnya perancangan awal terhadap harta pusaka yang dilihat kerap menimbulkan ramai masyarakat masih memandang hibah dan wasiat serta perancangan harta pusaka sebagai perkara remeh,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata, JAWHAR telah banyak memberi panduan kepada MAIN termasuklah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) khususnya dalam penyediaan manual prosedur berkaitan dengan Wakaf, Zakat dan Mal.
“Manual Prosedur yang berkaitan ini telah banyak memberi manfaat kepada MUIS dan PBNS dalam melaksanakan fungsi masing-masing di negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA